Pelajar Kemuda lawat TelBru

Pelajar Kemuda lawat TelBru

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Sekumpulan lima orang pelajar bersama guru mereka dari Institut Kemuda telah mengadakan lawatan ke Bangunan TelBru, Sumbiling, di ibu negara, hari ini, sebagai sebahagian daripada modul pengajian mereka yang berkaitan dengan industri telekomunikasi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TelBru, dalam lawatan berkenaan, para pelajar dan pensyarah mereka telah dibawa meninjau kemudahan-kemudahan TelBru yang berkaitan dengan kursus mereka, terutamanya pemasangan rangkaian IT, dengan taklimat disampaikan oleh kakitangan TelBru yang memfokuskan ke atas teknologi di sebalik perkhidmatan-perkhidmatannya.

Guru yang mengiringi pelajar-pelajar berkenaan, Dayang Amal Nadiah binti Mohd Yusoff memberitahu bahawa lawatan ke institusi-institusi seperti TelBru itu bermatlamat untuk meluaskan pengetahuan pelajar di luar bilik darjah dan mendedahkan mereka kepada pengalaman sebenar selaras dengan sukatan pelajar kelasnya, terutamanya menekankan ke atas pemasangan rangkaian IT.

“TelBru adalah pertubuhan terbaik untuk kami rujuk kerana ia merupakan syarikat telekomunikasi utama di Brunei,” ujarnya sambil menambah, pelajar-pelajar berkenaan dapat memahami cara-cara penjaringan menerusi pembentangan-pembentangan efektif, yang akan membantu dalam tugasan-tugasan mereka.

Bangunan TelBru itu merupakan salah satu bangunan kemegahan TelBru yang telah lama wujud, kebanyakannya merangkumi operasi-operasi teknikal dan penyelenggaraan.

ARTIKEL YANG SAMA