Pelajar kenali ASEAN

Pelajar kenali ASEAN

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri selaku Sekretariat Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI, telah meneruskan siri jerayawara Kenali ASEAN di Dewan Sekolah St. George, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dikendalikan oleh Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan ialah wakil Sekolah St. George, Engenio Mendoza.

Hadir sama pada taklimat itu ialah Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Abdul Karim bin Hamdan, para guru dan lebih 100 orang penuntut Tahun 7, 8 dan 9 sekolah tersebut.

Taklimat mengenai ASEAN telah disampaikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Awang Isa bin Haji Abdul Rahman. Jerayawara itu bertujuan untuk memberikan pendedahan dan menyalurkan maklumat dengan lebih meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut sekolah menengah di negara ini.

Ini kerana mereka merupakan golongan belia yang berperanan penting sebagai pemangkin hala tuju negara ini dan mewarnai corak peradaban bangsa untuk membentuk generasi pelapis.

Pelajar bersama tetamu kehormat bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan.
Pelajar bersama tetamu kehormat bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan.

Di samping jerayawara Kenali ASEAN itu juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran am pengetahuan penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana para penuntut mengetahui mengenai ASEAN dengan menanamkan kesedaran rasa milik dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN, iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.’

Taklimat itu juga mengetengahkan maklumat mengenai Wawasan 2035 selaras dengan perangkaan perbandingan Negara Brunei Darussalam di arena serantau.

Perkembangan itu wajar diketahui oleh para penuntut bagi meningkatkan kesedaran mengenai perkembangan negara di peringkat serantau dan menjadi pencetus semangat bagi mereka menjadi lebih gigih memajukan negara ini supaya Wawasan 2035 dapat direalisasikan.

Turut diadakan pada majlis itu ialah Kuiz Kenali ASEAN yang mana para penuntut ditanyakan soalan berkaitan dengan ASEAN, seperti tahun penubuhannya dan negara-negara yang menjadi anggota asal penubuhan persatuan negara serantau itu.

Tetamu kehormat juga telah menyampaikan hadiah kepada 10 orang penuntut yang berjaya menjawab Kuiz ASEAN.

Program itu merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan di kalangan penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan penubuhan ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA