Pelajar kenali kehidupan polis

Pelajar kenali kehidupan polis

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Perkhemahan Tahunan Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei Sekolah-sekolah Menengah di Seluruh Negara ke-33 melabuhkan tirainya hari ini dengan majlis penutup yang berlangsung di Dewan Pusat Latihan, di Ibu Pejabat Polis, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Komandan Pusat Latihan Polis, Supt Pengiran Zaidi bin Pengiran Haji Metali.

Kem Komandan Perkhemahan, Kadet Polis Inspektor Samri bin Haji Jumaat semasa menyampaikan ucapannya pada majlis itu berkata, perkhemahan tahun ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar.

Menurutnya, sepanjang perkhemahan itu, para pelajar telah menyertai pelbagai aktiviti termasuk pertandingan kawad tujuh sepasukan, rentas desa, Circuit Training, taklimat sesi jenayah remaja, taklimat sejarah polis, lawatan ke muzium polis, dan banyak lagi.

Katanya lagi, aktiviti yang disediakan adalah sebagai pendedahan khusus kepada kadet-kadet polis agar membina ilmu pengetahuan mengenai kehidupan polis, memupuk minat ahli untuk berkecimpung dalam bidang kepolisian serta mendidik budaya bersaing secara sihat dalam kalangan ahli kadet khusus kepada pelajar-pelajar sekolah menengah.

Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada ahli kadet polis terbaik dari Sekolah Menengah Anthony Abel.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada ahli kadet polis terbaik dari Sekolah Menengah Anthony Abel.

Dengan kerjasama Pusat Latihan Polis Gadong dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, katanya, perkhemahan itu diharap akan menjadi satu detik permulaan yang baik bagi pelajar untuk terus maju sama ada untuk mencapai cita-cita dalam pelajaran mahupun untuk menjadi anggota Pasukan Polis Diraja Brunei pada masa akan datang.

Sementara itu, salah seorang ahli kadet yang ditemui, Dayang Nurul Syafiqah binti Haji Abdul Rahman, dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan berkata, sepanjang perkhemahan selama empat hari itu, mereka telah banyak mempelajari banyak pengalaman yang amat berguna berupa disiplin diri.

“Saya juga berharap, perkhemahan di masa akan datang akan dapat dipanjangkan waktu perkhemahan dan lebih banyak aktiviti lasak,” tambahnya.

Majlis penutup berkenaan menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah kepada ahli-ahli kadet dari 17 buah sekolah yang terlibat dan ahli-ahli kadet polis terbaik yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA