Pelajar kenali lebih dekat tugas ahli bomba

Pelajar kenali lebih dekat tugas ahli bomba

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 25 Nov – Sebagai salah satu aktiviti menjelang musim cuti persekolahan penggal akhir tidak lama lagi, seramai 45 pelajar Sekolah Chung Lian Sungai Liang telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Balai Bomba Sungai Liang, hari ini.

Rombongan pelajar yang terdiri daripada kalangan murid-murid Tadika hingga Tahun 6 itu diiringi bersama tujuh tenaga pengajar yang diketuai oleh Dayang Nur Amirah binti Abdullah Yap dan Michelle Chong Bao Xin.

Menurut ketua rombongan, lawatan ke balai bomba itu adalah atas permintaan kalangan murid-murid yang terlalu berminat untuk melihat secara lebih dekat tugas anggota bomba, selain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman serta sebagai integrasi pembelajaran di luar sekolah.

Pada lawatan itu, rombongan telah dialu-alukan oleh Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Pegawai Balai Awang Muhammad Ali bin Hassan, yang juga menyampaikan taklimat mengenai profil balai serta menerangkan secara ringkas peranan dan tugas anggota bomba di balai bomba tersebut.

Seorang pelajar mencuba sendiri cara-cara memadamkan api menggunakan alat pemadam api.
Seorang pelajar mencuba sendiri cara-cara memadamkan api menggunakan alat pemadam api.

Pegawai Balai Awang Muhammad Ali dalam taklimatnya juga memberikan saranan serta nasihat kepada rombongan pelawat mengenai pencegahan kebakaran semasa berada di sekolah serta bagaimana mengosongkan bangunan dengan cara yang betul.

Selepas taklimat, pegawai balai bomba telah menunjukkan cara-cara memadam api dan turut memberi peluang kepada para pelajar yang kelihatan begitu teruja untuk mencubanya sendiri.

Rombongan seterusnya dibawa menyaksikan pameran-pameran yang telah disediakan seperti perkakas penyelamat dan menyaksikan anggota bomba melakukan aksi turun dari bangunan tinggi serta tunjuk cara memadam api dengan betul.

Sejurus sebelum pulang, rombongan juga berkesempatan menaiki jentera bomba di kawasan balai dan sebagai tanda kenangan, Dayang Nur Amirah sebagai wakil sekolah telah menyerahkan plak kepada pegawai Balai Bomba Sungai Liang yang dibalas dengan penyampaian poster tatacara penggunaan alat pemadam api dan langkah-langkah keselamatan di sekolah yang telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Balai Dayang Rohaini binti Ali.

ARTIKEL YANG SAMA