Pelajar kenali profesion perundangan

Pelajar kenali profesion perundangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Sepasukan peguam dari Pejabat Peguam Negara, baru-baru ini, telah mengadakan lawatan ke Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan menyampaikan ceramah tentang ‘Kerjaya dalam Undang-undang,’ untuk memberikan wawasan kepada para pelajar yang berminat meneruskan profesion dalam bidang perundangan.

Timbalan Pendakwa Raya, Karen Tan dan Awang Danial Kifrawi dalam ceramah mereka antara lainnya menyentuh tentang pelbagai laluan yang boleh diambil untuk layak sebagai peguam di Brunei Darussalam.

Pasukan peguam itu juga bercakap tentang kerjaya yang boleh diambil setelah berjaya menyelesaikan ijazah undang-undang dan juga kemahiran penting yang boleh diperolehi daripada penerusan pengajian ijazah undang-undang.

Awang Danial Kifrawi menyampaikan ceramah kepada pelajar JIS.
Awang Danial Kifrawi menyampaikan ceramah kepada pelajar JIS.
Karen Tan menerangkan laluan menuju profesion perundangan.
Karen Tan menerangkan laluan menuju profesion perundangan.

Para pelajar juga mendengar penerangan ringkas tentang kehidupan sebagai seorang peguam yang menjalankan tugas bagi perkhidmatan kerajaan yang termasuklah memfailkan dakwaan dan membawa kes jenayah ke mahkamah, perundingan perjanjian dan perjanjian antarabangsa serta mendraf undang-undang.

Selepas ceramah berkenaan, para pelajar terlibat dalam sesi soal jawab dengan para peguam.

Para pelajar juga dijemput memohon bagi program penempatan kerja di Pejabat Peguam Negara ketika cuti sekolah. Ceramah anjuran bersama Jabatan Kerjaya JIS itu adalah sebahagian daripada Karusel Kerjaya tahunan sekolah berkenaan dan merupakan usaha Pejabat Peguam Negara untuk menyampaikan pengetahuan berhubung profesion undang-undang kepada mereka yang berminat dalam meneruskan kerjaya seumpama itu.

ARTIKEL YANG SAMA