Pelajar KIGS selamat pulang ke tanah air

Pelajar KIGS selamat pulang ke tanah air

Oleh Lyna Mohamad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Sekumpulan pelajar dari Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) yang telah menyertai Program Kelas Global di Cyberjaya, Kuala Lumpur, Malaysia, sejak 18 September lalu telah selamat pulang ke tanah air, semalam.

Ketibaan mereka di Lapangan Antarabangsa Brunei telah dialu-alukan oleh Ketua Akademik KIGS, Sonny Jumpo dan Ketua Fakulti Kesenian dan Kemanusiaan, Dr. Malai Yunus bin Malai Yusof.

Turut hadir ialah Ketua Fakulti Perniagaan, Gwen; Pembantu Ketua Teknologi Maklumat, Dayang Siti Nosyroh dan pensyarah-pensyarah KIGS serta ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar berkenaan.

Kepulangan kumpulan pelajar yang diketuai oleh Ketua Multimedia dan Penyiaran KIGS, Haji Hasnul bin Hamdani itu telah dialu-alukan dengan bacaan doa.

Gambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar oleh Hardy AJ
Gambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar oleh Hardy AJ

Haji Hasnul telah meluahkan rasa syukur kerana telah mencapai objektif Kelas Global, dan menambah bahawa menerusi program berkenaan pelajar-pelajar dapat bekerjasama dengan semua peserta.

“Pelajar-pelajar juga berpeluang untuk berkongsi maklumat di pentas global, yang mana Universiti Lim Kok Wing mempunyai pelajar-pelajar dari 160 buah negara di seluruh dunia dengan pelbagai idea, kreativiti dan inovasi yang berbeza.”

Ini, katanya lagi, juga selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan kepentingan industri kreatif pada masa ini terutamanya dalam dunia globalisasi untuk meningkatkan pempelbagaian ekonomi kita.