Pelajar kita sertai rancangan Xpedisi Siswa, GRID di S’pura

Pelajar kita sertai rancangan Xpedisi Siswa, GRID di S’pura

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Sekumpulan pelajar hari ini bertolak ke Singapura bagi mengambil bahagian dalam dua program realiti TV iaitu Xpedisi Siswa dan GRID dalam usaha mempromosikan Pertukaran dan Kerjasama Dua Hala antara Belia, Penyiar dan Pegawai dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Dalam Program Xpedisi Siswa itu, para peserta akan mencabar keupayaan diri dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan menggunakan kemahiran insaniah melalui pembelajaran dan pengalaman.

Setiap pasukan terdiri daripada lima ahli iaitu seorang mentor dan empat pelajar dari kedua-dua buah negara akan menyertai beberapa aktiviti di bawah tema Sukarelawan yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar, penanaman pokok kayu bakau, kempen kebersihan di Pulau Ubin dan banyak lagi.

Manakala Program Realiti GRID pula berorientasikan pengetahuan dan kreativiti belia dalam pembangunan, kebudayaan dan banyak lagi yang menarik minat komuniti belia.

Pada tahun ini, GRID akan mempersembahkan tema Kesenian Kulinari yang memberi tumpuan kepada empat projek utama iaitu penyediaan makanan, persembahan makanan dan penilaian makanan serta kebersihan dan etika.

Antara pelajar yang akan menyertai dua Program Realiti TV di Singapura.
Antara pelajar yang akan menyertai dua Program Realiti TV di Singapura.

Program-program ini akan dihadiri oleh tetamu kehormat dari Negara Brunei Darussalam, Setiausaha Tetap Media dan Kabinet di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, manakala Setiausaha Parlimen, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Profesor Faishal Ibrahim.

Turut hadir ialah Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu dan Zakiah Halim dari Mediacorp, Singapura.

Program-program ini merupakan program tahunan terbitan bersama RTB dan MediaCorp di bawah Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Republik Singapura dalam bidang Penyiaran.

Kedua-dua program akan disiarkan di Brunei Darussalam dan Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA