Pelajar kolej didakwa, beri sokongan Al-Qaeda

Pelajar kolej didakwa, beri sokongan Al-Qaeda

SEPANG, 31 Dis (Bernama) – Seorang pelajar kolej di Kaherah, Mesir menjadi individu pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Mohamad Hidayat Azman, 19, pelajar Kolej Markaz Salam di Hayyu Asyir, Kaherah didakwa telah memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda (Jund Al Aqsa) dengan menjadi ahli kumpulan pengganas itu.

Mohamad Hidayat dari Kuala Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Perak didakwa melakukan kesalahan itu dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Syria antara 5 Sept 2014 hingga 1 Sept tahun ini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad Hidayat, yang didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 130J kanun sama kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Mahkamah menetapkan 28 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

ARTIKEL YANG SAMA