Pelajar Korea U cari perlindungan di Konsulat Korea S

Pelajar Korea U cari perlindungan di Konsulat Korea S

HONG KONG, 28 Julai – Seorang pelajar Korea Utara yang berada di Hong Kong untuk menyertai pertandingan matematik antarabangsa sedang mendapatkan perlindungan di bandar tersebut, kata laporan media hari ini. Pelajar lelaki berusia 18 tahun, yang tidak dikenal pasti, mendapatkan perlindungan di pejabat konsul Korea Selatan di Hong Kong, menurut akhbar tempatan Ming Pao.

Pelajar itu adalah sebahagian daripada rombongan rasmi di Hong Kong pada bulan ini untuk menghadiri Olimpiad Matematik Antarabangsa di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong (HKUST).

Pembelotan biasa berlaku di misi Korea Selatan di negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Kemboja, Laos dan Thailand yang menjadi destinasi sasaran untuk warga Korea Utara yang melarikan diri dari negara mereka menerusi China.

Namun pembelotan oleh anggota rombongan yang berkunjung ke luar negara jarang berlaku, disebabkan mereka diperiksa dengan teliti sebelum diberikan visa keluar dan diawasi ketika mereka tinggal di luar negara.

Anggota keselamatan berdiri di lobi lif di Konsulat Korea Selatan di HK pada 28 Julai. Seorang pelajar Korea Utara di HK yang sedang menyertai pertandingan matematik antarabangsa telah mendapatkan perlindungan di bandar itu. – AFP
Anggota keselamatan berdiri di lobi lif di Konsulat Korea Selatan di HK pada 28 Julai. Seorang pelajar Korea Utara di HK yang sedang menyertai pertandingan matematik antarabangsa telah mendapatkan perlindungan di bandar itu. – AFP

Pegawai enggan memberi komen mengenai laporan mengatakan pelajar telah membelot ketika lawatannya untuk pertandingan matematik.

“Kami tidak akan memberikan mana-mana respons berkaitan dengan isu tersebut,” beritahu seorang pegawai konsul Korea Selatan, yang enggan memberikan namanya, kepada AFP.

Terdapat kepungan pada pagi ini di depan lif ke tingkat bangunan di mana pejabat konsul terletak, dan seorang wartawan AFP dihalang oleh pengawal daripada naik.

Seorang jurucakap polis bandar berkata “tidak adanya maklumat” untuk diberikan, sementara HKUST juga enggan memberi komen. Hong Kong mempunyai status separa autonomi selepas dikembalikan daripada Britain kepada China pada 1997. – AFP