Pelajar KUPU SB akhiri Perkhemahan Ukhuwah Islamiyah

Pelajar KUPU SB akhiri Perkhemahan Ukhuwah Islamiyah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Lebih 30 pelajar dari Kelab Fikrah Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengakhiri Program Perkhemahan Ukhuwah Islamiyah selama tiga hari, yang berlangsung di Masjid Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah Kampung Sungai Akar, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup program itu ialah Dekan Fakulti Usuluddin KUPU SB, Prof Madya Dr Ariffin bin Omar.

Sepanjang perkhemahan tiga hari, bermula pada 29 Mei lalu di tapak perkhemahan perkampungan, itu para pelajar mengikuti agenda program yang padat tetapi disusun dengan rapi merangkumi aspek-aspek fizikal dan kerohanian, mental serta kecekalan semangat.

Susunan program aktiviti perkhemahan pada hari kedua dan ketiga jelas lebih padat dan menyeluruh, bermula dengan Qiamullail pada pukul 3 pagi sebelum mengerjakan sembahyang fardu subuh berjemaah, disusuli dengan Tazkirah Tadabural-Quran yang disampaikan oleh salah seorang peserta program.

Gambar ramai para pelajar dan pensyarah yang mengikuti Program Perkhemahan Ukhuwah Islamiyah KUPU SB berkenaan.
Gambar ramai para pelajar dan pensyarah yang mengikuti Program Perkhemahan Ukhuwah Islamiyah KUPU SB berkenaan.

Aktiviti hari terakhir juga bermula dengan Qiamullail dan seterusnya sembahyang sunat Duha serta kuiz agama yang disertai peserta perkhemahan dan para penduduk kampung, yang dijayakan dengan kerjasama jawatankuasa takmir masjid.

Sejurus selepas makan tengah hari, Majlis Khatam Al-Quran diadakan bersama jemaah masjid yang diakhiri dengan majlis penutup perkhemahan oleh tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA