Pelajar lemas ditemui

Pelajar lemas ditemui

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 9 Okt – Seorang murid Darjah 1 SK Pahlawan yang dilaporkan hilang ketika pulang dari kelas KAFA petang kelmarin ditemui terdampar di dasar tali air berhampiran parit kawasan paya Kampung Pahlawan keesokan paginya.

Mangsa Siti Nor Hirdah Tahir, 7, ditemui masih berpakaian baju kurung berwarna jingga, oleh penduduk kampung sekitar jam 10 pagi semalam.

Ketua operasi SAR PDRM Limbang, Inspektor Ahmad Iswaizani Ahamad Ismail berkata mangsa ditemui tersangkut di bawah tali air berhampiran parit di seberang jalan utama, iaitu 300 meter dari lokasi hilang.

“Mayat mangsa ditemui penduduk kampung yang mencarinya di dasar tali air berkenaan pagi semalam,” katanya ketika ditemui semalam.

Mayat mangsa yang dalam keadaan luka di bahagian kaki sudah dihantar ke Bilik Mayat Hospital Limbang untuk bedah siasat.

KENANGAN SAYU....Nor Hirdah (duduk depan kanan sekali) bersama rakan-rakan kelasnya di SK Pahlawan.
KENANGAN SAYU….Nor Hirdah (duduk depan kanan sekali) bersama rakan-rakan kelasnya di SK Pahlawan.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin mangsa bersama emak saudaranya Masni Amit melalui jalan pintas dengan menyeberangi parit untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Zon Tatal berikutan hujan lebat.

Menurut ahli keluarga mangsa Murhamit 46, Nor Hirdah sempat dipimpin emak saudaranya Masni yang juga orang kelainan upaya (OKU), namun terlepas sebelum ditarik arus deras, dalam keadaan air pasang.

“Ketika menyeberangi parit berkenaan, tangan Nor Hirdah terlepas dari genggaman emak saudaranya sebelum dibawa arus yang sangat deras.

“Nor Hirdah sempat menjerit meminta tolong namun gagal diselamatkan kerana sudah dihanyutkan air pasang setinggi lebih empat kaki ketika itu,” katanya ketika ditemui malam kelmarin.

Nor Hirdah juga merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik. Ayah mangsa Tahir Amit berkata Nor Hirdah tidak berkelakuan pelik sebelum kejadian berlaku.

Menurut Tahir beliau turut bergegas ke tempat kejadian yang tidak jauh dari rumahnya sebaik mendengar jeritan anaknya itu.

“Saya sempat menyeluk kawasan parit hampir tiga kali, namun gagal menjumpai anak saya, ditambah dengan keadaan gelap dan hujan lebat,” katanya sebak.

Katanya penduduk kampung turut menjumpai barangan milik mangsa termasuk tudung, bekal makanan dan selipar mangsa semasa operasi mencari dilancarkan.

Selain penduduk, operasi mencari turut dilakukan oleh anggota bomba, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang dan tujuh anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sementara itu Ketua operasi mencari dan menyelamat (SAR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Limbang, Pegawai Bomba Kanan Dua Mohamad Ali Mohd Salleh berkata operasi SAR dilakukan melibatkan jarak kira-kira 500 meter dari mangsa dikatakan hilang.

ARTIKEL YANG SAMA