Pelajar lulus peperiksaan SSSRU dirai

Pelajar lulus peperiksaan SSSRU dirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Pelajar-pelajar Darjah 6 Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil, Kawasan Brunei IIA diraikan dalam majlis penyampaian sijil bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi tahun 2015 yang berlangsung di sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir menyempurkan penyampaian sijil kepada para pelajar ialah Pegawai Pengajian Islam Kawasan Brunei IIA, Jabatan Pengajian Islam, Mohd Ahsanol Azmi bin Haji Serbini.

Pada majlis tersebut, guru besar sekolah berkenaan, Dayangku Hajah Jurinah binti Pengiran Haji Sabtu berkata bahawa majlis tersebut diadakan adalah bagi memberikan penghargaan kepada murid-murid yang telah bertungkus lumus dalam Peperiksaan SSSRU sehingga mencapai keputusan lulus 100 peratus.

Selain itu, ia juga diadakan sebagai motivasi kepada murid-murid yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian sijil dan hadiah penghargaan kepada murid-murid yang mencapai keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Majlis diserikan lagi dengan persembahan daripada para pelajar sekolah berkenaan, diikuti dengan bacaan Dikir Asyrakal.

Gambar ramai bersama para penerima sijil SSSRU pada majlis tersebut.
Gambar ramai bersama para penerima sijil SSSRU pada majlis tersebut.

Menurut salah seorang murid yang ditemuramah, Dayang Nur Alya Izzati binti Julaihi, beliau meluahkan rasa gembira kerana lulus dalam peperiksaan tersebut dan berjaya menamatkan persekolahan agama dari Darjah Pra hingga 6.

“Persediaan dan jadual belajar yang betul merupakan faktor yang penting bagi peperiksaan ini memandangkan pembelajaran yang sangat padat di sekolah menengah pada sesi pagi, di samping menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian selepas solat juga menjadi faktor kejayaan,” ujarnya lagi.

Sementara itu bagi Dayang Sofea Ezzah binti Haji Amer Hamzah yang telah memperolehi pangkat 1 dengan agreget 5 berkata, persiapan yang telah dilakukannya ialah mengulangkaji pelajaran lebih awal bagi memastikan segala pelajaran yang akan diperiksakan itu nanti dapat dijawab dengan betul.

Bagi Awangku Muhammad Abidurrahman bin Pengiran Mohammaddin pula, beliau merasa bersyukur kerana mendapat keputusan yang cemerlang dan berusaha untuk terus mengamalkan apa yang telah dipelajari untuk keperluan dunia mahupun akhirat.

ARTIKEL YANG SAMA