Pelajar Ma’had ikuti bengkel hadapi peperiksaan PSR

Pelajar Ma’had ikuti bengkel hadapi peperiksaan PSR

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Seramai 97 orang pelajar dan sembilan orang pegawai dari Ma’had Islam Brunei, Daerah Tutong, semalam, telah menyertai Bengkel Motivasi bagi penuntut yang akan menghadapi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) pada tahun ini.

Bengkel yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong itu telah dikendalikan oleh Pegawai Pelajaran Kanan, Unit Miftaahun Najaah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Mustapa bin Haji Masri.

Dalam bengkel tersebut, beliau antara lain menyentuh mengenai kepentingan taat kepada Allah, menjalankan matlamat hidup dengan bermotivasi tinggi dan bersikap positif serta proaktif dalam pelajaran dan pembelajaran, di samping menghindarkan diri daripada terjebak dalam kegiatan negatif.

Beliau juga menyentuh mengenai bagaimana membuat perancangan jadual yang lebih baik, memiliki nilai-nilai murni, berdoa, bersyukur dan bertawakal kepada Allah termasuk supaya tidak berputus asa.

Haji Mohd Rais (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Haji Mustapa.
Haji Mohd Rais (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Haji Mustapa.

Majlis dihadiri oleh Ketua Kampung Jerudong, Haji Mohd Rais bin Haji Ishak dan Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik, Ma’had Islam Brunei, Hajah Kamsiah binti Haji Morshidi.

Majlis yang dianjurkan bersama oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bersama Ma’had Islam Brunei itu bertujuan untuk membuat persediaan awal dalam peperiksaan tersebut bagi memperoleh keputusan yang memberangsangkan, di samping menggunakan potensi pelajar secara optimum dalam membangunkan imej secara lebih positif lagi.

ARTIKEL YANG SAMA