Pelajar Maktab Sains dirai

Pelajar Maktab Sains dirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Seramai 124 orang pelajar pra-universiti 2 Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) telah diraikan pada Majlis Tamat Pengajian ke-14 Sesi 2010-2015 yang berlangsung di Dewan Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar ialah Pemangku Timbalan Pengarah Pejabat Timbalan Setiausaha Tetap Pendidikan Teras, Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Zurina binti Haji Harun.

Pemangku Pengetua MSPSBS, Hajah Hashimawati binti Haji Mohamad yang juga selaku pengerusi majlis dalam ucapannya menjelaskan bahawa majlis itu merupakan acara tahunan maktab yang diungkayahkan oleh majlis pelajar dengan sokongan jawatankuasa guru.

Majlis bertujuan meraikan pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian di maktab berkenaan secara rasmi, di samping menghargai sumbangan dan penglibatan para pelajar dalam mengharumkan nama maktab sepanjang tempoh pembelajaran mereka di sana.

Beliau melahirkan harapan dan menyeru para graduan supaya akan sentiasa mempraktikkan segala ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang diperolehi dengan memfokuskan elemen pendidikan agama dan nilai-nilai murni yang berkonsepkan MIB ke arah penjanaan generasi yang berakhlak dan berkeperibadian tinggi.

Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Hajah Hashimawati semasa ucapan alu-aluan.
Hajah Hashimawati semasa ucapan alu-aluan.

“Kementerian Pendidikan memikul tanggungjawab untuk melahirkan pelajar-pelajar yang memiliki kecemerlangan ilmu, kemapanan sahsiah, kebijaksanaan kepimpinan dan kejiwaan patriotisme bagi melahirkan anak bangsa pemikir yang mampu mengangkat martabat negara di mata dunia.”

Beliau menjelaskan lagi, di sinilah kolaborasi daripada para graduan sendiri, ibu bapa dan penjaga serta pihak maktab mengambil peranan penting dalam mendokong dan menanai hasrat Kementerian Pendidikan untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Dalam pada itu, beliau menyeru para graduan untuk meneruskan perjuangan mereka selagi ada peluang yang diberikan dan menanam sifat bersungguh-sungguh dalam mengoptimumkan potensi diri.

Di samping itu juga menasihatkan agar para graduan mengutamakan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah S.W.T, di samping memelihara nama baik diri para ibu bapa, bangsa dan juga negara.

Majlis Tamat Pengajian tersebut turut diserikan dengan tayangan audio visual serta persembahan muzikal dan sajak.

ARTIKEL YANG SAMA