Pelajar Maktab Sains ungguli Kuiz Bintang Pelajar

Pelajar Maktab Sains ungguli Kuiz Bintang Pelajar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Dayang Nurul Aqilah binti Aminidun dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan berjaya menewaskan tiga pelajar lain dalam pusingan akhir untuk bergelar juara Pertandingan Akhir Kuiz Bintang Pelajar 2016 yang berlangsung di Dewan Raya RTB, hari ini.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu selaku tetamu kehormat.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $500, sijil dan piala, manakala pemenang lainnya membawa pulang hadiah sagu hati.
Selain Dayang Nurul Aqilah, peringkat akhir turut menampilkan Dayang Nurul Afiqah binti Mohd Norilham dari Sekolah St. Andrew; Ian Low Yee En dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut; dan Awang Muizaddin Muhaimin bin Mazleenoor dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan.

Sebanyak tiga pusingan diadakan di peringkat akhir berkenaan, dengan dua pusingan berkisar soalan mengenai mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Combine Science dan MIB iaitu soalan objektif dan subjektif manakala pusingan ketiga mengenai pengetahuan am dan Kenali Negara Kitani dengan format kuiz cepat/pantas.

Dayang Aqilah ketika menerima hadiah juara daripada tetamu kehormat pada majlis tersebut.
Dayang Aqilah ketika menerima hadiah juara daripada tetamu kehormat pada majlis tersebut.

Terdahulu di peringkat awal pemilihan, seramai 92 orang penuntut mengikuti pertandingan ujian bertulis, dan hanya 60 orang penuntut sahaja yang terpilih bagi mengikuti pertandingan ini yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 8 sekolah-sekolah menengah di seluruh negara termasuk pendidikan swasta dan Jabatan Pendidikan Islam bermula awal Mac lalu.

Kuiz berkenaan dihasratkan untuk melahirkan seorang pelajar yang berkeyakinan dan berpengetahuan tinggi dalam bidang akademik serta berani untuk berhadapan dengan khalayak ramai.

Turut hadir pada majlis itu ialah para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan RTB dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum serta para penuntut sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA