Pelajar Maktab SOAS terima anugerah

Pelajar Maktab SOAS terima anugerah

Oleh Sahama

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS), baru-baru ini, telah meraikan para pelajarnya yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan 2015 Peringkat ‘O’ dan SPE (Peperiksaan Kemajuan Pelajar) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Profesional), Dayang Marina Chek binti Bujang yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pelajar cemerlang dan guru-guru yang telah mencapai sasaran mereka bagi Balance Score Card tahun 2015.

Pada majlis itu, 10 orang pelajar Tahun 8 (2015) telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik dan seorang pelajar Pearson BTEC Diploma Teknologi Maklumat juga menerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi kategori itu.

Manakala itu, empat orang pelajar yang mencapai A* dalam Bahasa Melayu, Biologi, Bahasa Inggeris dan Geografi turut menerima hadiah.

Majlis menyaksikan 37 orang pelajar menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang iaitu mereka yang telah mendapat 5 ‘O’ Level hingga 7 ‘O’Level, manakala itu, 15 orang pelajar mencapai 8 ‘O’ Level dan 12 mencapai 9 ‘O’ Level.

Penerima Anugerah Trophy Challenge untuk 2015 ialah Awang Muhammad Haziq Ikhwan bin Aziz yang memperoleh 2 A*, 6A dan 1B bagi Peperiksaan ‘O’ Level. Beliau juga layak untuk menerima biasiswa daripada Kementerian Pertahanan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Pelajar yang menerima anugerah ini hendaklah mencapai keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran serta mempunyai keseimbangan aktif mengambil bahagian dalam aktiviti kolej dan juga sebagai seorang pelajar contoh kepada pelajar-pelajar lain di kolej ini.

Majlis anugerah seperti ini diharapkan dapat membantu meningkatkan motivasi dan keinginan pelajar untuk terus mencapai hasil yang membanggakan dalam mata pelajaran yang diambil untuk menjadi warganegara yang aktif dan menjadi teladan kepada pelajar lain.

ARTIKEL YANG SAMA