Pelajar Malaysia di Jerman tulang belakang sektor kejuruteraan negara

Pelajar Malaysia di Jerman tulang belakang sektor kejuruteraan negara

FRANKFURT, 29 Nov (Bernama) – Pelajar Malaysia yang mempelajari bidang kepakaran tinggi dalam kejuruteraan di universiti dan institusi teknikal di Jerman dilihat bakal menjadi tulang belakang serta memperkasa industri teknologi negara di masa depan.

Konsul Jeneral Malaysia di Franfurt yang bidang konsularnya meliputi negeri Hesse, Rhineland-Palatinate, Rhine Westphalia Utara dan Thuringia, Adina Kamarudin berkata jumlah pelajar Malaysia yang mempelajari bidang teknikal di institusi Jerman sentiasa meningkat.

“Saya percaya arah aliran ini akan berterusan,” katanya.

Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Franfurt, Rohana Mohd Yunus berkata terdapat lebih 250 pelajar tajaan MARA di sini.

“Namun saya diberitahu jumlah sebenarnya melebihi 1,000 orang termasuk yang datang sendiri atau dihantar oleh organisasi swasta,” katanya dan menambah jumlah pelajar Malaysia di Amerika Syarikat dan United Kingdom adalah lebih ramai.

Pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sangat khusus dan mampu menyokong industri di Malaysia untuk memperkukuh portfolio teknologinya.

“Oleh kerana Jerman sudah tersangat maju dan terkenal di dunia dalam bidang teknologi, pelajar Malaysia datang untuk belajar di negara ini. Mereka turut menikmati subsidi pengajian yang tinggi, kata Rohana.

Pengarah Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, S.Siva berkata kunci utama kejayaan ekonomi Jerman ialah sistem pendidikannya.

“Kemakmuran Jerman terletak pada potensi inovatif dan kedinamikan syarikatnya.

Jadi tidak hairan Jerman menekankan kepentingan utama terhadap pendidikan dan pembelajaran selain kajian dan pembangunan,” katanya.

Menurut MIDA, terdapat 400 institusi pengajian tinggi di Jerman yang menawarkan kira-kira 16,000 program ijazah yang diikuti oleh kira-kira 2.12 juta pelajar termasuk 265,00 pelajar asing yang merupakan 12.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

Jerman merupakan negara keempat paling menjadi tumpuan pelajar asing di belakang Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

Dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MARA serta Konsul Jeneral Malaysia, MIDA berjaya meminta syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia,” kata Siva.

“Pelajar Malaysia yang menjalani latihan di syarikat Jerman mempunyai peluang untuk mendapat pekerjaan di syarikat Jerman di Malaysia.

“Sekiranya mereka tidak mahu bekerja dengan syarikat Jerman, mereka memilih untuk membina syarikat sendiri yang ramai pelajar yang pulang ke Malaysia lakukan,” katanya.