Pelajar mangsa kebakaran terima bantuan

Pelajar mangsa kebakaran terima bantuan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Bantuan kepada lapan orang pelajar yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Lurong Sikuna dan Kampung Tamoi Ujong baru-baru ini.

Majlis berlangsung di Sekolah Rendah Haji Tarif, Kampung Tamoi. Hadir untuk menyampaikan sumbangan tersebut ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Azis bin Haji Nayan.

Pelajar-pelajar tersebut menerima bantuan berupa peralatan sekolah, uniform sekolah, bantuan buku serta kewangan. Mereka terdiri daripada pelajar Tahun 11 A2 Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien iaitu Awang Abdul Wafi bin Suhardi dan tiga beradik Awang Mohammad Rifaie, Dayang Nursyazveena dan Dayang Norsyaza binti Asmali dari Sekolah Menengah Awang Semaun.

Turut menerima sumbangan bantuan ialah Dayang Suzinorsariyana binti Francis dari Sekolah Menengah Awang Semaun, Dayang Syazwani binti Suhardi, Awang Mohammad Azizul Iman bin Haji Mohd Khudzairi dan Awang Mohammad Aiman Zuhairi bin Abdullah Azizi Shafie dari Sekolah Rendah Haji Tarif. Lima buah keluarga telah kehilangan tempat tinggal dan harta benda ekoran kebakaran yang berlaku di Kampung Lurong Sikuna pada 17 Januari dan Kampung Tamoi Ujong pada 25 Januari lalu.

Tetamu kehormat (empat dari kiri) bergambar ramai bersama para penerima sumbangan.
Tetamu kehormat (empat dari kiri) bergambar ramai bersama para penerima sumbangan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, para pelajar yang terlibat dalam musibah tersebut pada awalnya telah menerima bantuan persekolahan segera daripada sekolah masing-masing bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terjejas terutama bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan GCE ‘O’ Level dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan segera sekolah terbabit yang dibuat melalui Unit Hal Ehwal Pelajar Sekolah dan juga sumbangan para guru telah membolehkan para pelajar terbabit mengikuti pelajaran mereka seperti biasa dengan peralatan sekolah yang mencukupi.

ARTIKEL YANG SAMA