Pelajar maut ditimpa tiang gol

Pelajar maut ditimpa tiang gol

GUA MUSANG, 12 Julai – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 2 (SMKTIP2) maut selepas ditimpa tiang gol yang tumbang ketika sedang bermain bola di padang sekolah berkenaan hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Rajab Ahad Ismail berkata mangsa dikenali sebagai Nik Muhamad Lutfi Kamarudin, 14, maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan terjatuh di depan pintu gol semasa hendak menendang bola kerana padang licin dan secara tiba-tiba tiang gol itu tumbang sebelum menghempap kepalanya.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Datuk Ab Aziz Abdullah ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat Hospital Gua Musang (HGM) berkata Kementerian Pendidikan baharu sahaja mengeluarkan pekeliling agar pihak sekolah mengadakan pemantauan keselamatan di setiap sekolah termasuk peralatan di padang bola.

Seorang pelajar maut apabila mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas ditimpa tiang gol. - Bernama
Seorang pelajar maut apabila mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas ditimpa tiang gol. – Bernama

“Kami juga baharu mengadakan mesyuarat bagi mendapatkan maklum balas daripada pengurusan sekolah berhubung pekeliling berkenaan dan terkejut berlaku kejadian tiang gol tumbang menimpa seorang pelajar.

“Apa pun kami akan mengambil langkah berjaga-jaga supaya kejadian sama tidakberulang pada masa akan datang dan kami turut ucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa Tuan Suraililita Tuan Ismail, 43, berkata kali terakhir beliau menemui anaknya itu adalah sebelum mangsa dan adiknya, Nik Mohd Adam, 11, menaiki bas untuk ke sekolah.

Tuan Suraililita yang tinggal di kuarters Kilang Sawit Liziz di Kuala Betis di sini, berkata mangsa dan adiknya sering menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang disediakan oleh syarikat itu untuk ke sekolah pada setiap hari. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA