Pelajar mendapat 5 kredit ke atas meningkat

Pelajar mendapat 5 kredit ke atas meningkat

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja menunjukkan peningkatan pelajar yang mendapat lima kredit ke atas dalam Peperiksaan BGCE ‘O’ Level iaitu meningkat daripada 23.5 peratus pada 2014 kepada 27.40 peratus tahun lepas.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Kluster 4, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Mariam binti Haji Ladi yang hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Pelajar Cemerlang bagi Peperiksaan BC IGCSE/GCE Peringkat ‘O’ Sesi Akademik Tahun 2015.

Beliau seterusnya menjelaskan kecemerlangan ini setentunya terhasil berkat usaha yang gigih, sokongan dan kerjasama padu semua pihak, khususnya para ibu bapa, para guru dan para pelajar sendiri.

“Seperti yang diketahui, pelajar-pelajar lepasan sekarang mempunyai pelbagai peluang laluan, bukan hanya tertumpu untuk memasuki pusat-pusat tingkatan enam sahaja, malah mereka sekarang berpeluang memasuki pelbagai haluan dan hala tuju untuk meneruskan pelajaran ke institusi pengajian tinggi seperti Politeknik Brunei, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan institusi pengajian tinggi swasta mengikut minat dan kesesuaian kelayakan atau kriteria yang telah ditetapkan,” ujar beliau.

Bagi para pelajar yang meneruskan pendidikan ke peringkat seterusnya beliau menyarankan supaya para pelajar akan terus meningkatkan usaha untuk meraih kecemerlangan.

“Gunakanlah peluang-peluang dan kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan sepenuhnya demi menyumbang ke arah perkembangan dan pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jadilah pelajar yang berwawasan,” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, guru berperanan besar dalam melahirkan para pelajar yang berkualiti. Melalui gurulah ilmu dan kemahiran disampaikan dan diwariskan.

Beliau menyeru supaya pemimpin-pemimpin sekolah hendaklah sentiasa memberikan tumpuan yang serius dan memastikan pelaksanaan Brunei Teachers’ Standards ini mencapai objektifnya.

ARTIKEL YANG SAMA