Pelajar muzik Neo-Classic cemerlang di WCOPA

Pelajar muzik Neo-Classic cemerlang di WCOPA

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Pelajar sekolah muzik Neo-Classic, baru-baru ini, membanggakan sekolah berkenaan apabila memenangi 10 pingat dalam Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) yang diadakan di Long Beach, California, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Veenea Kamalam Nair, yang merupakan antara beratus-ratus peserta dari 71 buah negara diseluruh dunia, juga telah dianugerahkan biasiswa jangka masa panjang Indasoul Entertaiment berjumlah $10,000, termasuk perjanjian rakaman dengan Indasoul Records, Los Angeles, California.

Pelajar berbakat berkenaan disambut di sekolah muzik itu kelmarin dengan sesi sidang media di mana beliau berkongsi cerita kejayaannya selepas kembali dari AS.

Dalam pertandingan itu, Veenea menggondol tiga pingat emas, dua perak, empat gangsa dan Pingat Emas Finalis Utama Dunia serta dua plak setelah menjadi Juara Dunia untuk R & B / Soul / Vokal Jazz dengan Iringan Muzik Sendiri dan Juara Dunia bagi Vokal Terbuka dengan Iringan Muzik Sendiri.

Selain itu, Veenea turut menerima Anugerah Industri yang bermakna beliau mampu dan berkelayakan untuk berada dalam industri seni pentas.

Veenea Kamalam Nair ketika mengongsikan pengalamannya menyertai WCOPA di AS.
Veenea Kamalam Nair ketika mengongsikan pengalamannya menyertai WCOPA di AS.

Dalam sidang akhbar itu, Veenea berkata, persediaan untuk pertandingan berkenaan adalah sukar, namun dengan pembelajaran vokal dan piano pada usia yang muda (berumur tiga atau empat tahun) di Neo-Classic, ia memberi kelebihan kepada beliau untuk membuat persiapan dengan baik dan cemerlang dalam pertandingan.

Setelah disahkan menghidap leukemia ketika berusia empat tahun, Veenea percaya bahawa belajar menyanyi membantu beliau menghadapinya dan beliau bercita-cita untuk mewujudkan kesedaran tentang kesihatan, pemakanan dan kanser kanak-kanak.

Terutamanya, beliau ingin memberi inspirasi dan menggalakkan semua orang untuk menetapkan matlamat dan menumpukan ke arah pencapaian mereka, hanya dengan seperti yang dilakukannya.

Melalui muzik dan nyanyiannya, Veenea berkata, beliau boleh mencapai aspirasi ini dan membantu membina masyarakat yang lebih baik di mana beliau sudah mencipta beberapa lagu asli dalam single pertama beliau dinamakan ‘LOVE’ yang telah memenangi Pingat Emas pada WCOPA itu.

Selain daripada itu, Veenea berikrar untuk memberi sumbangan kepada Yayasan Kanser Kanak-Kanak Brunei (YASKA), di mana beliau masih memikirkan beberapa perancangan dan salah satunya menyumbangkan jualan daripada album asal pertama kepada YASKA.

ARTIKEL YANG SAMA