Pelajar negara naib johan menghafaz Al-Quran

Pelajar negara naib johan menghafaz Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Seorang pelajar Brunei yang sedang melanjutkan pengajian dalam Tahun 2 di Mahad Qiraat Al-Azhar, Syoubra, Republik Arab Mesir telah dinobatkan sebagai Naib Johan Kategori Menghafaz 15 Juzuk Al-Quran dalam Musabaqah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-23, di Republik Arab Mesir.

Awang Mohammad Najib bin Haji Ali Akhbar merupakan salah seorang daripada 40 orang peserta dari seluruh dunia yang mengikuti pertandingan berkenaan.

Tempat pertama dalam kategori berkenaan dimenangi oleh peserta dari Amerika Syarikat, Ahmad Mohammad Hassan dengan markah 99%, diikuti oleh Awang Mohammad Najib di tempat Kedua dengan markah 98.15% dan tempat ketiga menjadi milik peserta dari Mali, Taijani Jabi dengan mendapat markah 97.95%.

Awang Mohammad Najib memegang sijil penyertaan sejurus selesai pertandingan berkenaan.
Awang Mohammad Najib memegang sijil penyertaan sejurus selesai pertandingan berkenaan.

Pengumuman keputusan tersebut telah dibuat dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil dan Cenderamata yang telah diadakan kelmarin, di tempat yang sama.

Hadir bagi menyampaikan sijil dan cenderamata ialah Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Al-Fadhil Dr. Mohamed Mokhtar Jum’ah.

Peserta-peserta yang berjaya mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kategori akan menerima hadiah masing-masing pada majlis penyampaian yang akan diadakan pada bulan Ramadan di Republik Arab Mesir yang dijangka dihadiri oleh Presiden Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Abdel Fattah Al-Sisi serta pembesar-pembesar negara lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA