Pelajar PB lawat tapak pembinaan Perumahan Lugu

Pelajar PB lawat tapak pembinaan Perumahan Lugu

BANDAR SERI BEGAWAN – Seramai 44 orang terdiri daripada para pelajar, pensyarah, dan kakitangan dari Kampus Sains dan Kejuruteraan Lumut, Sekolah Politeknik Brunei, baru-baru ini, mengunjungi Tapak Pembinaan Perumahan Lugu, Mukim Sengkurong sebagai sebahagian daripada aktiviti kurikulum Program Kejuruteraan Awam mereka.

Menurut kenyataan dari Politeknik Brunei (PB), pelajar tahun pertama berkenaan telah diberi peluang untuk meningkatkan pengetahuan mereka menerusi pendedahan ke atas senario sebenar kerja-kerja pembinaan unit perumahan jenis kluster.Semasa lawatan itu, mereka telah diberikan taklimat ringkas daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan bersama kontraktor-kontraktor yang ditauliahkan ke atas kaedah pembinaan dan aspek rekaan yang melibatkan mengenai konsep reka bentuk, proses substruktur dan superstruktur serta penggunaan material bagi pembinaan 1,000 unit perumahan jenis kluster.

Dari segi pembaharuan kerja-kerja pembinaan rumah tersebut, salah seorang Jurutera Projek Jabatan Kemajuan Perumahan turut menekankan bahawa kontraktor telah menggunakan acuan aluminium sebagai kaedah inovatif untuk melakukan kerja mengkonkritkan di tapak tersebut.

Para pelajar dan pensyarah PB, bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Perumahan dan kontraktor di tapak berkenaan.
Para pelajar dan pensyarah PB, bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Perumahan dan kontraktor di tapak berkenaan.

Ia membolehkan kaedah pembentukan panel konkrit yang lebih pantas, selamat dan lebih berkualiti disebabkan ia lebih ringan, kukuh dan boleh digunakan berulang kali sehingga kira-kira minimum 500 kali jika dibandingkan dengan acuan (struktur sementara) kayu konvensional.

Lawatan sambil belajar ini adalah bertujuan untuk menyediakan para pelajar peluang yang berkaitan dengan apa yang mereka pelajari dalam modul ‘Teknologi Pembinaan’ yang ditawarkan di bawah Program Diploma Kejuruteraan Awam Level 5 di Politeknik Brunei.

Program itu telah diperkenalkan di bawah Sekolah Sains dan Kejuruteraan di Kampus Lumut Politeknik Brunei, dalam tempoh tiga tahun termasuk menjalani latihan amali selama enam bulan pada penghujung program tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA