Pelajar perlu bijak memilih, menilai capai kemantapan

Pelajar perlu bijak memilih, menilai capai kemantapan

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Malaysia.

Mengiringi keberangkatan Baginda berdua ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Dalam titah Baginda pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan pentingnya bagi para penuntut untuk jangan sekali-kali lupa tujuan asasi mereka berada di negara ini iaitu untuk memberikan sepenuh perhatian kepada pengajian dan akademik.

Peluang yang ada ini juga haruslah digunakan untuk membina jati diri dan sahsiah. Menurut Baginda, perumpamaannya ialah seperti bertanam benih, benih yang ditanam itu biarlah benih yang baik, untuk mendapatkan hasil yang benar-benar baik dan memuaskan.

“Di samping itu, para pelajar hendaklah bijak memilih dan menilai. Pilihan terbaik bagi para pelajar adalah untuk menjadi ‘siswazah patriotik’. Ini memerlukan azam dan pendekatan yang mantap. Di samping itu landasan yang dipilih juga haruslah yang betul. Landasan itu ialah acuan ataupun calak yang hendak dipakai.

KDYMM dan KDYMM Baginda Raja Isteri ketika berkenan berangkat ke majlis tersebut.
KDYMM dan KDYMM Baginda Raja Isteri ketika berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah pada majlis berkenaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah pada majlis berkenaan.
Baginda Sultan, Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain berkenan bergambar ramai semasa majlis berkenaan.
Baginda Sultan, Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain berkenan bergambar ramai semasa majlis berkenaan.
Rakyat Brunei yang berada di Malaysia, tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan bersama Baginda Sultan.
Rakyat Brunei yang berada di Malaysia, tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan bersama Baginda Sultan.
Baginda Raja Isteri berkenan bergambar ramai bersama rakyat dan penduduk Brunei pada Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Malaysia.
Baginda Raja Isteri berkenan bergambar ramai bersama rakyat dan penduduk Brunei pada Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Malaysia.
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berkenan beramah mesra bersama penduduk dan rakyat Brunei di Malaysia.
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berkenan beramah mesra bersama penduduk dan rakyat Brunei di Malaysia.
Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan merakam kenangan bersama rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Malaysia pada majlis yang penuh warna warni yang berlangsung di Grand Ballroom 3, Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, kelmarin.
Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan merakam kenangan bersama rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Malaysia pada majlis yang penuh warna warni yang berlangsung di Grand Ballroom 3, Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, kelmarin.

“Bagi orang-orang Brunei, calak atau acuan itu ialah Melayu Islam Beraja (MIB). Acuan ini hendaklah digunakan di dalam kehidupan di mana saja dan jangan ianya ditukar ganti dengan yang lain-lain.”

Sebagai contohnya, titah Baginda, di bidang budaya, tidaklah salah untuk mengenali dan mengetahui budaya orang lain kerana ianya juga adalah salah satu cabang ilmu, tetapi bukanlah untuk memakainya. Adapun yang dipakai adalah acuan MIB.

Titah Baginda lagi, perkara yang sama juga di dalam agama dan amalan beragama. “Kita boleh saja melihat dan mengetahui cara-cara orang lain mengamalkan ugama tetapi bagi orang Brunei cara beragama itu hendaklah dirujuk kepada acuan kita iaitu MIB, yang telah menentukan agama itu sebagai “Agama Islam Menurut Aliran Ahlissunnah Waljama’ah”.

Tambah Baginda, perkara ini amatlah penting untuk para penuntut mengetahuinya agar tidak mudah terpengaruh kepada perkara-perkara yang tidak diingini. Pengaruh-pengaruh seperti ini bukan sahaja akan merugikan diri pelajar itu sendiri bahkan boleh sahaja menjejaskan negara.

Baginda turut menggesa agar para pelajar dan penuntut untuk menjadi pencetus kepada idea-idea besar dan memiliki bakat dan aspirasi global. Inilah sifat pelajar yang diharapkan daripada pelajar-pelajar yang merupakan calon pemimpin yang akan mengemudi negara di masa hadapan.

Pada mengakhiri titah, Baginda turut mendoakan semoga para pelajar dan pegawai yang sedang berada di Malaysia akan diberkati oleh Allah serta beroleh kebahagiaan dan kejayaan.

Terdahulu, keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta dan kerabat diraja di Grand Ballroom 3, Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur bagi santap petang dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Dato Paduka Haji Awang Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha dan Datin; serta Yang Di-Pertua Brunei Student Council Malaysia (BSCM), Dayang Nurhudiya Fakhriah binti Haji Damit.

Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung menandatangani lembaran kenangan sempena Majlis Bersama Rakyat ini sebelum dijunjung bergambar ramai.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja yang lain seterusnya dijunjung berangkat ke Grand Ballroom bagi Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di Malaysia dengan iringan Dikir Marhaban yang disembahkan oleh penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam.

Majlis dimulai dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam oleh penuntut-penuntut Brunei Darussalam dari Asia Pacific University & International Medical University, Selangor, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Afiq Haririe bin Haji Daud dan tafsirannya pula dibacakan oleh Awang Muhammad Waqiuddin Fakhri bin Haji Damit, pelajar Brunei Darussalam di Darul Quran.

Bagi memohon keberkatan majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Dayang Nurhudiya Fakhriah dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan sembah ikrar taat setia yang tidak berbelah-bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Di majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri juga berkenan menerima pesambah daripada penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam yang disembahkan oleh BSCM.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja seterusnya berangkat bercemar duli bersama lebih kurang 800 orang rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Malaysia yang terdiri daripada penuntut-penuntut, pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas, berkursus dan dalam percutian bersama keluarga.

ARTIKEL YANG SAMA