Pelajar perlu peka dengan perkembangan semasa

Pelajar perlu peka dengan perkembangan semasa

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun. – Dalam menyebarkan maklumat semasa, Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, hari ini, telah mengadakan Program Rakan Remaja Penerangan di Sekolah Menengah Menglait, Gadong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Kerja, Urus setia Majlis Pelajaran Kebangsaan, Kementerian Pendidikan, Dayang Kamaliah binti Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Pengetua Sekolah Menengah Menglait, Gadong, Awang Mohidin bin Haji Noordin, guru-guru dan kakitangan serta penuntut Tahun 8 hingga 10 Sekolah Menengah Menglait.

Acara dimulakan dengan nyanyian ramai lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’, sebelum bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat bagi memberkati majlis.

Majlis kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan Awang Mohidin yang antara lain menyeru semua warga sekolah untuk mensyukuri dan mengambil banyak manfaat di negara ini yang bersendikan falsafah negara Melayu Islam Beraja.

“Iaitu menjadikan semua pelajar kitani bertanggungjawab, sayangkan negara, berdisiplin dan mempunyai ketaatan tinggi kepada Allah S.W.T, Rasulullah SAW, ibu bapa, guru-guru, ilmu-ilmu dan semua makhluk Allah di sekeliling kita,” ujarnya.

Pada majlis itu, Taklimat Kenegaraan disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya sebelum diteruskan dengan tayangan video ‘Kibarkanlah Bendera Negara dengan Megah.

Program juga diserikan dengan persembahan muzikal instrumen dan qasidah oleh para penuntut sekolah berkenaan.

Seramai 500 orang penuntut yang hadir dihiburkan dengan lawak jenaka dan kuiz yang disampaikan oleh pelawak-pelawak undangan tanah air.

Hadiah-hadiah kepada lima penuntut yang berjaya menjawab kuiz telah disampaikan oleh tetamu kehormat.

Objektif program tersebut ialah untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya mereka peka dengan perkembangan semasa, menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan remaja, serta menjadikan pelajar sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.

Program tersebut juga bertujuan untuk memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif dan dalam masa yang sama ia adalah untuk mendekati golongan belia dan remaja di sekolah-sekolah melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin.

Dayang Kamaliah (tengah) pada majlis itu.
Dayang Kamaliah (tengah) pada majlis itu.

 

ARTIKEL YANG SAMA