Pelajar Politeknik Brunei bersaing di OGFEST

Pelajar Politeknik Brunei bersaing di OGFEST

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Sekumpulan penuntut Politeknik Brunei telah berlepas ke Johor Baharu, Malaysia untuk menyertai pertandingan Festival Minyak dan Gas (OGFEST) yang akan bermula esok (16 November) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Pemergian para penuntut berkenaan, yang terdiri daripada Awang Mohammad Wafiuddin bin Ya’akub, Dayang Nadiah binti Haji Hassan, Dayang Nurol Azfizah binti Mohmmad Roszaimey dan Dayang Nurul Haziqah bin Azhar, diiringi oleh tiga pensyarah iaitu Haji Abdul Muiz bin Haji Matali, Haji Awang Morni bin Haji Madali dan Chai Soon Fu daripada program Well Engineering.

Sebelum berlepas, pasukan berkenaan telah diraikan dalam majlis yang diadakan di Politeknik Brunei, di mana Pemangku Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan (SSE), Dr. Tang Shi Siong yang mewakili pemangku pengarah dan pemangku timbalan pengarah, menyampaikan ucapan motivasi kepada para peserta.

Dalam pertandingan berkenaan, pasukan yang disokong oleh Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd itu akan bertanding dalam Kategori Reka Bentuk Pelantar Minyak, di mana para peserta diberi tugasan untuk menghasilkan model pelantar minyak dalam tempoh empat jam menggunakan bahan-bahan yang telah disediakan oleh pihak penganjur.

Kemudian, para pelajar akan membuat pembentangan di hadapan barisan panel pakar, di mana reka bentuk yang mereka hasilkan akan dinilai dari segi kreativiti dan inovatif.

Pelajar-pelajar Politeknik Brunei bergambar ramai bersama bendera negara sebelum berlepas ke Johor untuk menyertai Festival Minyak dan Gas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pelajar-pelajar Politeknik Brunei bergambar ramai bersama bendera negara sebelum berlepas ke Johor untuk menyertai Festival Minyak dan Gas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pasukan Politeknik Brunei akan bersaing dengan para peserta dari Frigerg University of Mining and Technology, Southwest Petroleum University, China University of Petroleum (Beijing), Institut Teknologi Bandung, Institut Teknologi Sepuluh Nopember, Trisakti University, UPN “Veteran” Yogyakarta dan SPE (Persatuan Jurutera-Jurutera Potroleum) UI

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, OGFEST 15 menggalakkan para penuntut dan orang muda untuk menjadi sebahagian daripada usaha meluaskan pengetahuan berhubung sektor minyak dan gas, di samping membangunkan kapital manusia serta mewujudkan kesedaran terhadap alam sekitar global yang berdaya tahan.

Manakala itu, pertandingan ini diadakan untuk memberikan persefahaman luas dan mendalam dalam kalangan peserta ke arah kemajuan dan teknologi terkini dalam industri minyak dan gas.

Selain itu, ia juga dapat menyatukan para penuntut dan pakar-pakar yang berkaitan industri minyak dan gas bagi membentangkan keputusan mereka, bertukar-tukar pengalaman, idea dan penyelesaian berhubung masalah minyak dan gas dari segi teori dan praktikal menerusi perbincangan, seminar, bengkel syarikat serta pertandingan di samping mengukuhkan persahabatan dalam kalangan penuntut di antara universiti dan pakar-pakar industri minyak dan gas.