Pelajar Politeknik, Kolej Komuniti bina rumah tiga bilik dengan kos RM20,000

Pelajar Politeknik, Kolej Komuniti bina rumah tiga bilik dengan kos RM20,000

BESUT, 10 Julai – Bolehkah sebuah rumah kediaman tiga bilik dibina dengan kos kurang RM20,000 dan disiapkan tidak sampai sebulan?

Mungkin ramai yang sangsi namun, sekumpulan pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia membuktikan mereka boleh membina rumah berkeluasan 600 kaki persegi itu pada kos dan tempoh berkenaan.

Dengan dibantu pensyarah selain berbekalkan kemahiran, mereka melakukan pembinaan ‘luar biasa’ itu di daerah Besut pada akhir Mac lepas. Sehingga kini, sebanyak 15 rumah telah dibina untuk penduduk miskin dan kurang berkemampuan.

Sejak berjaya membina rumah Program Rumah Komuniti, pelbagai pihak mula yakin dengan kemampuan pelajar dan pensyarah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidik Tinggi itu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata beliau mengilhamkan program berkenaan kerana mahu menyelesaikan masalah ketiadaan rumah dalam kalangan penduduk miskin dan kurang mampu.

Beliau berkata ketika mengemukakan cadangan membina rumah komuniti secara cepat, murah dan berkualiti itu, ramai yang tidak percaya ia boleh dilaksanakan.

Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Anggota Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) dan isteri Datin Seri Che Kamariah Zakaria (tengah, kiri) bersama Anggota Dewan Undangan Negeri, pemimpin masyarakat dan tetamu serta penduduk bergambar pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Besut di Dewan Majlis Daerah Besut hari ini. - Bernama
Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Anggota Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) dan isteri Datin Seri Che Kamariah Zakaria (tengah, kiri) bersama Anggota Dewan Undangan Negeri, pemimpin masyarakat dan tetamu serta penduduk bergambar pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Besut di Dewan Majlis Daerah Besut hari ini. – Bernama

“Dengan kesanggupan dan semangat, pelajar dan pensyarah Kolej Komuniti Malaysia mencatatkan sejarah dengan membina Rumah Komuniti yang pertama untuk penduduk miskin dengan kos lebih murah dalam jangka waktu singkat pada akhir Mac lepas,” katanya semasa menyerahkan Rumah Komuniti Ke-15 di Kampung Pak Demalik, Jerteh di sini.

Idris yang juga Anggota Parlimen Besut berkata rumah pertama dibina di Kampung Padang Landak Jerteh dalam masa 22 hari dengan kos RM19,900 melalui kaedah Sistem Pembangunan Industri (IBS).

“Kaedah IBS dapat menjamin pembinaan rumah yang kukuh dan memenuhi aspek pembinaan kediaman.

“Setakat ini, empat daripada rumah itu dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, lima di DUN Kota Putera, empat di DUN Kuala Besut dan dua di DUN Hulu Besut,” katanya. Idris berkata Program Rumah Komuniti itu akan diperluaskan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk Universiti Malaya melalui Jabatan Kejuruteraannya yang menawarkan kepakaran teknologi hijau dalam pembinaan, yang belum pernah dilaksanakan di dunia.

Selain itu, beberapa syarikat pembinaan turut membantu dengan memperkenalkan produk pembinaan rumah berteknologi tinggi yang mampu menghindar kepanasan dan tahan sehingga 40 tahun seperti pembinaan Rumah Komuniti di Kampung Beris Lampu Kuala Besut, yang kini diduduki ibu tunggal, Normahani Mohamad, 43, dan enam anaknya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA