Pelajar Politeknik kongsi dapatan kajian

Pelajar Politeknik kongsi dapatan kajian

TEMBURONG, 12 Feb – Enam pelajar dan dua orang guru daripada ‘Kumpulan 6 Synergy’, Sekolah Perdagangan Politeknik Brunei telah menganjurkan sesi kongsi sama bersama ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK) Menengah, di sini pagi tadi.

Sesi kongsi sama ini merupakan sebahagian projek latihan para penuntut tahun akhir pengambilan ke-4 untuk menyelidik dan berkongsi pengetahuan bersama para penduduk kampung yang menghasilkan Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

Kumpulan ini telah membuat tinjauan pembuatan produk ‘Karipap Mini’ yang diusahakan oleh Biro Wanita Kampung Menengah, 6 Februari lalu, untuk menghimpunkan maklumat dan mengambil data bermula dari segi penyediaan, pemprosesan dan pemasaran produk tersebut di samping membuat kaji selidik mengenainya.

Penyelidikan berakhir dengan Majlis Sesi Kongsi Sama yang diadakan di Pusat Belia Pekan Bangar pagi tadi yang bermula dengan ucapan alu-aluan daripada wakil pelajar Dayang Norsyazana Haziqah binti Haji Mohd Nor yang antara lain menyentuh mengenai tujuan kongsi sama ini diadakan dan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli jawatankuasa yang terlibat dalam penyelidikan ini.

Para pelajar berkenaan juga berkongsi maklumat mengenai tatacara pemasaran melalui media sosial dan laman sesawang di samping membantu meningkatkan promosi produk berkenaan dengan tema kesedaran awam terhadap produk-produk tempatan.

Para pelajar Politeknik Brunei berkesempatan bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa MPK Menengah.
Para pelajar Politeknik Brunei berkesempatan bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa MPK Menengah.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kampung Menengah, Mejar (B) Ampuan Hussain bin Ampuan Mattahir, yang turut menyatakan projek seumpama ini adalah sesuatu yang sangat baik dan berguna bukan saja kepada pelajar malah pihak MPK sendiri.

Beliau juga bersedia membantu dan mengalu-alukan mana-mana institusi pendidikan yang ingin membuat kaji selidik dari aspek demografi, pentadbiran, ekonomi, produk dan sebagainya, kerana secara tidak langsung ia akan menghasilkan sesuatu pulangan yang positif dengan komen-komen yang membina untuk meningkatkan lagi kualiti dan pemasaran produk di kampung ini.

Projek akan berakhir dengan satu pameran ‘1 Kampung 1 Produk’ yang dijangka akan diadakan pada bulan Mac ini nanti di Bandar Seri Begawan. – Ampuan Irma Susanti

ARTIKEL YANG SAMA