Pelajar prasekolah rasai pengalaman baru

Pelajar prasekolah rasai pengalaman baru

Oleh Noorhamizan Hajji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 6 Jan – Prasekolah sebagai pendidikan untuk pertumbuhan dan perkembangan jasmani dan rohani kanak-kanak di luar lingkungan keluarga sebelum memasuki pendidikan peringkat rendah, setentunya akan memberi satu perubahan yang signifikan dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Justeru itu, Sekolah Rendah Amo Daerah Temburong, hari ini, mula menerima kemasukan seramai 14 orang murid prasekolah iaitu tujuh orang lelaki dan tujuh orang perempuan daripada pelbagai kaum dan agama di sini setelah mengikuti sesi suai kenal tahun lepas yang antara lain memfokuskan tanggungjawab ke atas pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak.

Sesuai dengan peranan pendidikan prasekolah sebagai pendidikan asas yang penting bagi kanak-kanak dalam perkembangan hidup seseorang individu selepas menerima pendidikan di rumah, ia merupakan pendidikan awal yang dapat menarik minat dan menyemai perasaan cintakan ilmu pengetahuan dan sukakan sekolah dalam kalangan kanak-kanak.

Ketibaan murid-murid berkenaan telah dialu-alukan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Amo, Hajah Noraini binti Namit, seterusnya disatukan dengan murid-murid lainnya bagi perbarisan pagi di mana mereka mendengar ucapan ringkas daripada guru besar kemudian beredar ke kelas masing-masing.

Turut mengiringi murid prasekolah ialah Dayang Elena binti Sabtu yang bertindak sebagai pengajar di situ.

Murid prasekolah dalam sesi berbaris pagi.
Murid prasekolah dalam sesi berbaris pagi.
Kelihatan seorang murid prasekolah sedang ditenangkan oleh Guru pra, Dayang Elena.
Kelihatan seorang murid prasekolah sedang ditenangkan oleh Guru pra, Dayang Elena.
Murid-murid belajar perkara baru dalam kelas.
Murid-murid belajar perkara baru dalam kelas.

Mengikut catatan yang diperolehi, keramaian murid yang sedang belajar di sekolah tersebut ialah 118 orang dengan 11 orang tenaga pengajar dan sembilan orang kakitangan.

Tinjauan ke bilik darjah menyaksikan murid-murid sedang belajar menyanyi dan bermain beberapa peralatan yang disediakan khusus untuk pendidikan awal kanak-kanak.

Pelbagai ragam dan kerenah ditunjukkan oleh mereka yang rata-ratanya berumur lima tahun. Terdapat juga di antara mereka yang belum dapat menerima suasana persekolahan dan takut ditinggalkan, tetapi konsep percaya pada guru dan pembantu perlu ditanamkan agar ibu bapa tidak risau di rumah.

Kanak-kanak lima tahun agak manja dan perlu diberikan dorongan agar mereka suka datang ke sekolah agar mereka mula pandai bergaul dengan kawan sekali gus memberi mereka keberanian untuk datang ke sekolah pada hari berikutnya.

ARTIKEL YANG SAMA