Pelajar PTEM ke Singapura pelajari fungsi otak

Pelajar PTEM ke Singapura pelajari fungsi otak

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Sekumpulan pelajar tingkatan enam diberikan peluang untuk memahami lebih lanjut mengenai penyelidikan serta fungsi dan penyakit otak dengan menyertai Program STEP-NUS Sunburst Brain Camp yang akan berlangsung di Singapura.

Sehubungan dengan itu, rombongan seramai empat orang penuntut dari Pusat Tingkatan Enam Meragang (PTEM) yang diketuai oleh Pegawai Pelajar dan Guru Biologi, PTEM, Awang Moss bin Mat Juni, telah berlepas ke Singapura untuk menyertai program berkenaan yang bermula hari ini hingga 27 Jun.

Penuntut-penuntut berkenaan ialah Ang Yi Han, Awang Muhammad Faris Hafiy @ Muhammad Syafiq Khairi bin Aide, Dayang Nor Sarah Irdina binti Ibrahim dan Dayang Siti Aisyah.

Program Sunburst Brain Camp (Kem Otak Sunburst) merupakan program pendidik sains yang dianjurkan bersama oleh Singapore Technologies Endowment Programme (STEP) dan National University of Singapore (NUS) dan melibatkan seramai 158 orang pelajar dari tujuh buah negara anggota ASEAN dan negara-negara rakan termasuk China, India, Jepun dan Korea Selatan.

Program itu mula dilancarkan pada Jun 2012 dan bermatlamat untuk menanam minat mengenai penyelidikan dan neurosains dalam kalangan golongan muda.

Rombongan dari Pusat Tingkatan Enam Meragang yang berlepas menyertai Program STEP-NUS Sunburst Brain Camp di Singapura.
Rombongan dari Pusat Tingkatan Enam Meragang yang berlepas menyertai Program STEP-NUS Sunburst Brain Camp di Singapura.

Selain daripada meningkatkan minat para pelajar dalam bidang penyelidikan otak, program itu diharap dapat menjana interaksi dan persahabatan dalam kalangan pelajar dari negara-negara ASEAN dan negara-negara sahabat yang mengambil bahagian.

Menurut rombongan pelajar berkenaan, sebelum menyertai program itu, mereka dikehendaki untuk menyediakan kertas penyelidikan dan membentangkan kertas penyelidikan itu di mana ia berdasarkan kepada topik penyelidikan yang diberikan kepada setiap negara dengan kertas penyelidikan itu dihantar kepada pihak penganjur pada 31 Mac lalu.

Semasa menyertai program itu, para peserta akan mengambil bahagian dalam kegiatan Sunburst Brain Adventure pada 22 Jun nanti di mana ia merupakan kegiatan bagi memperkenalkan para peserta di antara satu sama yang lain serta akan mengadakan lawatan ke Flower Dome.

Manakala itu, pada 23 dan 24 Jun nanti, para peserta akan menghadiri sesi kuliah dan bengkel interaktif serta mengambil bahagian dalam kegiatan makmal. Pada 25 Jun pula, para pelajar akan mengadakan lawatan ke Pusat Sains Kehidupan (CeLS) dan Pusat Sains di mana mereka akan berpeluang untuk membuat persiapan akhir bagi menyampaikan kertas penyelidikan masing-masing.

Sementara itu, pada 26 Jun, para peserta akan berpeluang untuk bertemu dengan pakar-pakar penyelidikan otak berhubung dengan kertas penyelidikan yang disediakan mereka serta akan menyampaikannya di hadapan rakan-rakan dalam program itu serta panel hakim.

Tiga kertas penyelidikan dan penyampaian terbaik akan dipilih serta akan menerima anugerah di majlis penyampaian anugerah yang juga akan diadakan pada 26 Jun.

Menurut kumpulan pelajar dari Brunei, mereka berharap melalui pengalaman menyertai program itu, segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan serta akan dikongsi bersama dengan rakan-rakan di sekolah mereka nanti.