Pelajar PTES juara syarahan

Pelajar PTES juara syarahan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Awang Mohammad Ridzuan bin Haji Budiman dan Dayang Hazimatul Ghaniah binti Haji Abdul Ghani, kedua-duanya dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) masing-masing muncul juara dalam kategori lelaki dan perempuan Pertandingan Syarahan Agama antara Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara kali ke-28 yang berlangsung di Dewan Serba guna Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Kilanas hari ini.

Mereka menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh Pemangku Ra’es, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Menurut Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Dayang Haryani binti Haji Mohammad, sebanyak 35 buah sekolah dan maktab-maktab termasuk lima buah sekolah swasta telah dijemput menyertai pertandingan tersebut di mana seramai 10 orang peserta dari tujuh buah sekolah berjaya terpilih untuk ke pertandingan akhir.

Katanya, pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu lelaki dan perempuan yang mana seramai lima peserta daripada setiap kategori bertanding dalam menyampaikan syarahan berbentuk agama, menyampaikan sesuatu ilmu pengetahuan dan pengajaran yang sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan serta menerapkan nilai-nilai Islam yang murni.

Dr. Haji Adanan bersama para hadirin yang lain ketika menyaksikan pertandingan tersebut.
Dr. Haji Adanan bersama para hadirin yang lain ketika menyaksikan pertandingan tersebut.
Dayangku Noor Syafiqah Adibah dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Sedekah Meningkatkan Kualiti Ummah’.
Dayangku Noor Syafiqah Adibah dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Sedekah Meningkatkan Kualiti Ummah’.

Peserta-peserta lain yang bertanding dalam kategori lelaki terdiri daripada Awang Muhammad Amaluddin bin Muhammad Azmizulkarday dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah; Awang Abdul Hakeem Afiq bin Abdullah dari Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien; Awang Muhammad Nazirul Azmi bin Masdi dari Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri dan Awang Mohd Ridhwan @ Abu Hurairah bin Mohd Ismail dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan.

Manakala finalis dalam kategori perempuan terdiri daripada Dayang Nur Maizatul binti Mohd Hussaini dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong; Dayangku Noor Syafiqah Adibah binti Pengiran Noor Shamsi dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan; Dayang Muslimah binti Mahadi dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah dan Dayang Nur Tajwiida Insyirah binti Haji Isa dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan.

ARTIKEL YANG SAMA