Pelajar PTET dapat sijil emas Olimpiad Kimia UK

Pelajar PTET dapat sijil emas Olimpiad Kimia UK

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 13 April – Seramai sembilan orang pelajar Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), yang terdiri daripada enam orang pelajar Tahun 13 dan tiga dari Tahun 12, telah berjaya menyertai Cabaran Kimia “UK Chemistry Olympiad” Peringkat 1 yang diadakan buat kali pertamanya pada tahun ini, baru-baru ini.

Dalam penyertaan tersebut, dua orang pelajar PTET telah berjaya memperolehi sijil emas iaitu Dayang Nur Amirah binti Zainal Arfan dari Tahun 13 dan Dayang Maimunah Fa’izun binti Haji Abdul Rahman dari Tahun 12; seorang pelajar iaitu Teo Zhi Perng menerima sijil perak dan enam yang lain menerima sijil gangsa.

Ketua Bahagian Sains PTET, Bryan Haysum, dalam kenyataan yang diberikan menjelaskan, ini merupakan satu pencapaian yang sangat baik oleh semua pelajar yang terlibat dalam peperiksaan kimia yang sangat mencabar.

Keterlibatan dan kejayaan para pelajar ini akan dapat memberi keyakinan besar dan kekuatan kepada pelajar bagi mendalami subjek Kimia pada masa akan datang.

UK Chemistry Olympiad anjuran Royal Society of Chemistry (RSC), merupakan cabaran kimia yang sangat mencabar yang dibukakan kepada semua peringkat sekolah di UK, namun sekolah-sekolah tertinggi di luar negara hanya dapat mengambil cabaran tersebut dalam Peringkat 1.

Pelajar-pelajar PTET yang berjaya mengikuti Cabaran Kimia ‘UK Chemistry Olympiad’ Peringkat 1 bergambar bersama pensyarah-pensyarah Sains PTET.
Pelajar-pelajar PTET yang berjaya mengikuti Cabaran Kimia ‘UK Chemistry Olympiad’ Peringkat 1 bergambar bersama pensyarah-pensyarah Sains PTET.

Dalam peringkat ini, sekolah-sekolah luar negara akan diberikan sijil elektronik yang dibahagikan kepada tiga kategori khas iaitu emas, perak dan gangsa bagi pelajar-pelajar yang mampu menjawab kertas peperiksaan bertulis yang lebih tinggi standardnya berbanding peperiksaan peringkat AS dan A2.

Ia diadakan untuk mencabar kefahaman pelajar-pelajar dalam bidang kimia dengan lebih mendalam.

PTET telah didaftarkan sebagai sebuah sekolah luar negara yang bergabung dengan RSC pada awal tahun 2015 oleh Tutor Kimia PTET, Onn Chee Seng yang mana beliau merupakan salah seorang ahli RSC.

Melalui kejayaan ini, PTET menyatakan perasaan amat berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar mereka dan mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terlibat.

ARTIKEL YANG SAMA