Pelajar PTET pamerkan kreativiti

Pelajar PTET pamerkan kreativiti

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Pelajar-pelajar dan kakitangan Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), semalam, sekali lagi berpeluang menyaksikan tayangan video kreatif pada pertandingan ICT GP ke-13 yang berlangsung di PTE berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada kurikulum General Paper Menengah Atas, pelajar-pelajar membentangkan filem pendek di hadapan panel hakim yang diketuai oleh Jean Kiekopf dari CfBT.

Dengan tajuk filem ‘Smartphone Madness’, pasukan Dayang Maimunah Faizun binti Haji Abdul Rahman, Dayang Mar Rohadatul ‘Aisy binti Umar dan Dayang Nurizyan Hazirah binti Mohd Taib, menjuarai pertandingan itu di mana mereka mewujudkan kesedaran penonton kepada masyarakat kita yang semakin bergantung pada telefon dan bahayanya kepada kemahiran komunikasi.

Sebagai pemenang pertama, mereka membawa pulang wang tunai $100, manakala itu pemenang kedua dan ketiga, masing-masing menerima $70 dan $50.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sepanjang penganjuran pertandingan ini, pelajar-pelajar PTET telah meneroka pelbagai tema yang menyentuh isu-isu kebangsaan dan global, dan tema tahun ini iaitu ‘It’s a Mad, Mad World’ menampilkan filem-filem yang mengetengahkan tabiat luar biasa dan kerap mencabar dalam dunia moden.

Pelajar-pelajar yang bertanding bergambar ramai bersama Jean Kiekopf (tiga dari kiri)
Pelajar-pelajar yang bertanding bergambar ramai bersama Jean Kiekopf (tiga dari kiri)

Karya-karya yang dipilih bagi pusingan akhir merangkumi pelbagai subjek termasuk ketagihan telefon bimbit, penipuan media, pembedahan plastik, pengganasan dan perhambaan moden.

Para pelajar dan kakitangan yang hadir menunjukkan sokongan dan keterujaan mereka bagi filem-filem berkenaan serta usaha yang dibuat bagi proses kreatif berkenaan.

Para peserta menyatakan bahawa pertandingan berkenaan telah membantu mereka membangunkan kemahiran pembuatan dan penyuntingan filem, serta menguji kerjasama dan kreativiti mereka.

Kiekopf pula mengulas bahawa filem-filem yang diketengahkan itu “merangsang pemikiran dan menghiburkan” serta menunjukkan keupayaan penyelidikan pelajar.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan GP dan Bahasa Inggeris PTET itu bermatlamat untuk melengkapkan para pelajar dengan kemahiran boleh dipasarkan dalam abad ke-21 serta mengembangkan pengetahuan dan pemahaman pengetahuan am para pelajar. Menurut kenyataan itu lagi, finalis tahun ini menunjukkan keupayaan pelajar-pelajar untuk mengatasi isu-isu semasa yang penting dan memberikan idea-idea dan pandangan baru mengenai dunia kini.

ARTIKEL YANG SAMA