Pelajar sekolah Arab meningkat

Pelajar sekolah Arab meningkat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Penerimaan para pelajar di sekolah-sekolah Arab di seluruh negara meningkat dari setahun ke setahun, dengan catatan pendaftaran pada tahun ini seramai 1,034 orang daripada pelajar Tahun 5 di keempat-empat daerah.

Bagi sesi pengajian 2016, 446 orang adalah pelajar lelaki dan 588 orang pelajar perempuan, dengan Daerah Brunei dan Muara mencatatkan pendaftaran tertinggi seramai 790 orang di dua buah sekolah iaitu Sekolah Arab Sungai Akar dan Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (BSB).

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika ditemu bual semasa lawatan ke Sekolah Persediaan Arab BSB berkata, “Bilangan kemasukan pada tahun ini cukup menggalakkan, di mana pelajar yang lulus peperiksaan sekolah ugama kemudiannya memasuki peperiksaan calon ke sekolah Arab, dan seramai 1,067 orang yang lulus dan ditawarkan, dan cuma seramai 34 orang tidak menerima tawaran.

“Alhamdulillah pada hari ini mereka memulakan pembelajaran mereka. Ini telah menunjukkan peningkatan yang cukup menggalakkan dan para ibu bapa juga mempunyai sokongan dan keyakinan kepada pihak sekolah untuk mendidik anak-anak mereka,” tambah beliau.

Dalam temu bual itu, Yang Berhormat Pehin juga menekankan tentang kemajuan dalam Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR), di mana hanya tiga orang sahaja yang gagal, dengan pencapaian peperiksaan tersebut telah mencapai 99.55 peratus dan ia merupakan berita yang sangat baik.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin berinteraksi bersama para pelajar Tahun 5.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin berinteraksi bersama para pelajar Tahun 5.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama tenaga pengajar Sekolah Persediaan Arab BSB. Turut kelihatan, Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin bin Pengiran Haji Hashim (paling kanan), yang juga seorang guru sekolah berkenaan. – Gambar Azrol Azmi
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama tenaga pengajar Sekolah Persediaan Arab BSB. Turut kelihatan, Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin bin Pengiran Haji Hashim (paling kanan), yang juga seorang guru sekolah berkenaan. – Gambar Azrol Azmi

“Apa yang penting sekali ialah sasaran negara bagi peperiksaan PSR ialah sebanyak 74 peratus dan pihak sekolah telah mencapai 99 peratus ke atas dan ianya melebihi dari sasaran. Walau bagaimanapun, memang ada cabaran setiap kejayaan, di mana Jabatan Pengajian Islam (JPI) mencatatkan kekurangan tenaga pengajar seramai 22 orang untuk pelajaran umum dan juga pelajaran agama,” ujar Yang Berhormat Pehin lagi.

Mereka sedang berusaha untuk mendapatkan guru untuk pelajaran umum dari Kementerian Pendidikan dan tenaga pengajar untuk pelajar agama dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Yang Berhormat Pehin juga mengingatkan bahawa sekolah-sekolah Arab merupakan kesinambungan daripada sekolah-sekolah agama yang ada di negara ini, kerana ia memiliki sistem pembelajaran kebangsaan yang sama seperti di sekolah-sekolah lain.

Mereka juga diberikan pendidikan dalam mata pelajaran umum dan mengambil peperiksaan umum seperti peperiksaan PSR di peringkat rendah, Peperiksaan ‘O’ Level di peringkat menengah awal, dan Peperiksaan ‘A’ Level di peringkat Pra Universiti.

Lawatan Yang Berhormat Pehin ke Sekolah Persediaan Arab BSB adalah bagi memastikan perjalanan pendaftaran para pelajar baru Tahun 5 bagi sesi pengajian 2016 berjalan dengan sempurna dan teratur.

Dalam kesempatan ini, Yang Berhormat Pehin berpeluang beramah mesra dengan para pelajar yang baru mendaftar dan berinteraksi dengan para ibu bapa dan pelajar yang sama-sama berperanan besar dalam menanai tanggungjawab dan memartabatkan lagi pendidikan Islam di negara ini.

Menurut kenyataan JPI, para pelajar di persekolahan Arab sangatlah beruntung kerana mempunyai peluang dan kelebihan mempelajari tiga bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

JPI juga akan sentiasa memberikan keutamaan dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Arab dalam kalangan para pelajar, sejajar dengan misinya dalam memantapkan sistem pendidikan di persekolahan Arab ke arah melahirkan ulama dan cendekiawan Islam yang berwibawa dalam pelbagai disiplin ilmu duniawi dan ukhrawi.

Yang Berhormat Pehin kemudian meneruskan lawatannya ke Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) bagi meluangkan masa untuk melawat para pelajar dan guru di sekolah berkenaan. Turut diberi perhatian semasa lawatan ke sekolah tersebut ialah kemudahan dan prasarana seperti bilik-bilik darjah, kelas komputer dan surau.

ARTIKEL YANG SAMA