Pelajar sekolah Arab semakin meningkat

Pelajar sekolah Arab semakin meningkat

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Nov – Pertumbuhan sekolah Arab yang perlahan di negara ini tidak dapat menampung kemasukan murid-murid dalam jumlah yang ramai memandangkan hanya ada tujuh buah sahaja sekolah Arab dan dua lagi masih dalam pembinaannya di Kampung Katok dan Kampung Rimba yang dijangka siap dalam tahun 2017.

Semenjak pembinaan sekolah Arab pertama, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah pada 1964, statistik kemasukan ke persekolahan Arab ini semakin meningkat.

Pada masa ini, seramai 3,913 murid dan pelajar menuntut di tujuh buah sekolah Arab ini, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman mendedahkan statistik itu ketika berucap pada Majlis Jubli Perak Ma’had Islam, Brunei di Dewan Ma’had Islam Brunei, Tutong hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, pada tahun 2015, seramai 844 kemasukan pelajar dicatatkan dan pada tahun hadapan, 1,149 bakal murid baru akan diterima masuk ke sekolah-sekolah Arab.

“Ternyata peningkatan drastik ini memerlukan tambahan atau anjakan penempatan dan tenaga pengajar apabila dua buah bangunan baru sekolah Arab di Kampung Katok dan Kampung Rimba siap dalam tahun 2017,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin ketika berucap semasa Majlis Sambutan Jubli Perak Ma’had Islam.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin ketika berucap semasa Majlis Sambutan Jubli Perak Ma’had Islam.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin berharap Jabatan Pengajian Islam akan mengkaji hal itu dari sekarang dengan mencapai rumusan penyelesaian munasabah dan sesuai dengan objektif persekolahan Arab dalam aspek aliran pendidikan agama khasnya dan pendidikan nasional secara keseluruhannya.

“Untuk pencapaian hasil yang baik dan cemerlang, mereka perlu lebih bekerja keras memikirkan perancangan yang munasabah supaya semuanya dapat dilaksanakan dengan hasil dan faedah yang sempurna,” tambah Yang Berhormat Pehin lagi.

“Persekolahan Arab adalah satu rahmat Allah dan nikmat kepada Brunei, negara kita yang indah permai, selamat, aman dan damai,” kata Yang Berhormat Pehin.

Dalam majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut melancarkan Majalah Al-Jauharah Ma’had Islam Brunei sempena sambutan Jubli Perak 25 tahunnya.

Majalah ini memuatkan pelbagai informasi penting termasuk visi, misi, matlamat, latar belakang dan sejarah penubuhan sekolah itu, perkembangan, pencapaian dan kemajuan sepanjang penubuhannya.

ARTIKEL YANG SAMA