Pelajar SM YSHHB dipilih sertai forum di Jepun

Pelajar SM YSHHB dipilih sertai forum di Jepun

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Seorang pelajar Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) telah terpilih untuk menyertai ‘Asian and Oceanian High School Student’s Forum’ di Wakayama, Jepun pada 4 hingga 8 November ini.

Pada forum berkenaan, Dayang Rabiatul Adawiyah binti Haji Rosmin, 15, bersama-sama pelajar dari 21 buah negara lain akan membentangkan dan membincangkan isu-isu penting global serta pertukaran budaya.

Ia juga diadakan untuk memupuk kesedaran pemimpin masyarakat global supaya berfikir secara proaktif, dan bertindak secara terbuka serta pantas di samping memperkenalkan warisan budaya yang ada di Wakayama.

“Saya berharap untuk mempelajari masalah yang dihadapi oleh negara lain akibat pertumbuhan ekonomi mereka dan saya berharap mendapat gambaran kepada penyelesaian bagaimana mereka menyelesaikan masalah ini melalui perbincangan dalam forum itu nanti,” kata Dayang Rabiatul.

Dayang Rabiatul Adawiyah (tiga kanan) terpilih menyertai ‘Asian and Oceanian High School Student’s Forum’ di Wakayama, Jepun.
Dayang Rabiatul Adawiyah (tiga kanan) terpilih menyertai ‘Asian and Oceanian High School Student’s Forum’ di Wakayama, Jepun.

Dalam forum berkenaan, para peserta juga akan membentangkan satu kajian tentang pencemaran asap kenderaan semasa mesyuarat kumpulan.

Peserta Brunei juga akan mengadakan persembahan memperkenalkan Brunei dan SM YSHHB pada Mesyuarat Agung dan seterusnya membentangkan penyelidikan penggunaan kenderaan di Negara Brunei Darussalam yang semakin berkembang.

Forum berkenaan merupakan anjuran bersama kerajaan Wilayah Wakayama, Lembaga Pendidikan Wilayah Wakayama dan Sekolah Tinggi Hos serta Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA).

ARTIKEL YANG SAMA