Pelajar SM YSHHB kenali budaya Jepun

Pelajar SM YSHHB kenali budaya Jepun

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Dengan harapan untuk melihat dengan lebih dekat dan mempelajari mengenai kehidupan masyarakat Jepun, kumpulan seramai lima orang pelajar Tahun 11 dan dua orang guru dari Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) menyertai Program Inapdesa (Homestay) SM YSHHB ke Wakayama, Jepun ke-4, bermula hari ini hingga 8 Disember.

Rombongan berkenaan terdiri dari Pengiran Sebah binti Pengiran Haji Momin dan Chan Yee Peng bersama-sama lima orang pelajar iaitu Awang Mohd Syahmi Sazali, Awang Mohammad Aiman Darwisy Abdullah, Awang Mohammad Wadud Hafiy Firdaus, Dayang Aqilah binti Jofri dan Dayang Nur Naziratul Syahirah binti Ya’akub.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Noorhaizamdin bin Haji Mosbi, Pegawai Pendidikan YSHHB, Awang Mohd Dani bin Haji Jailani, Pemangku Pengetua, Awang Hidayatallah Waqiyuddin bin Haji Mohiddin dan Guru Kanan, Dayang Noorhafizah binti Alias.

Semasa menyertai program berkenaan, rombongan pelajar akan menginap di rumah keluarga-keluarga angkat Jepun di mana mereka akan dapat melihat dengan lebih dekat cara hidup masyarakat Jepun menerusi warisan budaya, etika dan nilai-nilai kehidupan mereka.

Awang Noorhaizamdin bergambar ramai dengan rombongan pelajar dan guru yang menyertai Program Inapdesa Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ke Wakayama, Jepun ke-4.
Awang Noorhaizamdin bergambar ramai dengan rombongan pelajar dan guru yang menyertai Program Inapdesa Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ke Wakayama, Jepun ke-4.

Menerusi pendedahan itu, mereka akan mempelajari bagaimana arus kemajuan teknologi masa kini dan kemasukan pengaruh barat di negara itu serta memahami bagaimana pemuliharaan dan pengadunan budaya tradisi serta moden dapat membawa kesan yang positif.

Selain daripada mempelajari mengenai geografi serantau dan ekonomi Jepun di Wakayama dan Osaka, para peserta juga akan mengetahui mengenai pelbagai industri tempatan, perdagangan dan perniagaan Jepun serta memberikan kesedaran kepada peserta mengenai amalan penjimatan tenaga serta isu alam sekitar dan merasa sendiri iklim musim sejuk di negara berkenaan.

Semasa program itu, para peserta juga akan mengadakan lawatan untuk menyaksikan dengan lebih dekat industri keluli, KAO Cooperation dan melawat ke tempat-tempat menarik termasuk Istana Wakayama, kawasan tradisional Yuasa, Kilang Sos Soya, Pusat Pendidikan Tsunami, Pusat Khazanah Dunia, Kumano Hongue Shrine, River Hot Spring, Kumano Hongue Taisha, Kumano Nachi Taisha dan Sekolah Tinggi Kumano.

Semasa lawatan sambil pelajar itu, rombongan turut diberi peluang memakai pakaian tradisi Jepun di Bandar Kobe serta melihat tunjuk cara pemotongan ikan tuna di Bandar Marin.

ARTIKEL YANG SAMA