Pelajar SMSS terima penghargaan

Pelajar SMSS terima penghargaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Pihak sekolah disarankan untuk tidak bersikap leka dengan pencapaian yang diperoleh tetapi harus terus meningkatkan usaha supaya pencapaian cemerlang itu terus diperbaiki.

Jika perasaan leka itu diamalkan, apabila sasaran yang ditetapkan telah dicapai, maka ia boleh sahaja menyebabkan mereka kurang peka kepada perubahan sekitar dan mungkin ketinggalan dengan perkembangan terkini.

Saranan itu antara yang dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Hazis bin Haji Mohd Tahir ketika berucap pada Majlis Penghargaan dan Penganugerahan Pelajar-pelajar Cemerlang Peperiksaan PSR dan GCE ‘O’ Level bagi Sekolah Seri Mulia Sarjana (SMSS) yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Bangunan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Kampung Mata-Mata, hari ini.

Awang Ali Hazis turut menyeru para pelajar yang diraikan dan semua yang hadir untuk tidak berhenti mempelajari ilmu pengetahuan atau kemahiran serta untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat kerana dunia pada masa kini berubah dengan pesat dan ilmu serta kemahiran baru harus dipelajari untuk tidak ketinggalan dalam arus perubahan itu.

Beliau turut menasihati para pelajar cemerlang yang diraikan untuk terus meningkatkan usaha mereka untuk mencapai keputusan lebih baik serta mengejar cita-cita masing-masing.

Awang Ali Hazis menyampaikan sijil dan hadiah kepada pelajar-pelajar yang diraikan di majlis berkenaan.
Awang Ali Hazis menyampaikan sijil dan hadiah kepada pelajar-pelajar yang diraikan di majlis berkenaan.
Persembahan tausyeh daripada para pelajar yang menyerikan lagi majlis.
Persembahan tausyeh daripada para pelajar yang menyerikan lagi majlis.

Beliau berkata bahawa dengan kejayaan yang diraikan oleh mereka itu, satu perjalanan mereka telah berakhir tetapi ia tidak bererti mereka harus berhenti kerana ia juga menandakan bahawa satu perjalanan baru telah bermula.

Pada majlis berkenaan lebih 80 orang pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PSR dan GCE ‘O’ Level diraikan dan menerima sijil penghargaan serta hadiah yang disampaikan oleh Awang Ali Hazis.

Daripada jumlah pelajar yang diraikan itu, seramai 32 orang pelajar cemerlang diberikan penghargaan kerana mencapai keputusan lapan hingga sembilan ‘O’ Levels dengan lapan daripada mereka diberikan penghargaan istimewa kerana mencapai lima ‘O’ Levels dalam peperiksaan GCE dan IGCSE ‘O’ Level 2015.

Selain daripada itu, seramai 30 orang pelajar yang memperoleh 5 ‘A’ dan 27 orang pelajar yang memperoleh keputusan 4 ‘A’ dalam peperiksaan PSR turut menerima sijil penghargaan pada majlis berkenaan.

Pelajar Anugerah Cemerlang bagi GCE ‘O’ Level, Manahil Imran yang memperoleh keputusan 5 ‘A’, 2 ‘A’ dan 1 ‘B’, berkata bahawa kejayaannya dalam peperiksaan itu adalah berkat daripada sokongan ibu bapa dan keluarga serta guru-guru dan rakan-rakan yang memberikannya bimbingan serta dorongan dalam pelajarannya.

Beliau juga berkata bahawa amalan belajar dengan bijak serta untuk mempunyai pengurusan masa juga penting, supaya bukan sahaja seseorang boleh membahagikan waktu belajar dengan bijak tetapi juga memberikan sedikit masa bagi beriadah.

Majlis juga diserikan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk persembahan Tausyeh, nyanyian lagu tema Shine Sarjana dan tarian tradisional, Tai Zhu.

ARTIKEL YANG SAMA