Pelajar SMYSHHB berlepas ke Jepun sertai Forum Pelajar

Pelajar SMYSHHB berlepas ke Jepun sertai Forum Pelajar

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Seorang pelajar Tahun 10 Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SMYSHHB), hari ini, berlepas ke Jepun bagi menyertai Forum Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah Asia dan Oceania 2016 yang akan berlangsung di Wakayama, Jepun.

Penyertaan Awang Muhammad Khairin Adil bin Haji Kamsani ke sana turut ditemani oleh seorang guru, Dayang Syazwani binti Ismail. Hadir di Lapangan Terbang Brunei, Berakas, bagi mengucapkan selamat belayar ialah Penolong Pengarah Urusan III, YSHHB, Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa, Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Noorhaizamdin bin Haji Mohd Mosbi dan Pemangku Pengetua SMYSHHB, Marivic P. Collantes.

Dalam forum berkenaan, Awang Muhammad Khairin Adil akan menyertai pelajar-pelajar dari 20 buah sekolah di 20 buah negara yang termasuk Australia, Brunei Darussalam, Kemboja, China, Hong Kong, India, Indonesia, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Nepal, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Turki dan Vietnam.

Forum berkenaan bertujuan untuk memupuk kemerdekaan peribadi diri, belanjawan, tanggungjawab dan pemedulian untuk keselamatan dan keperluan diri; untuk membina karakter kerja berpasukan, perkongsian dan pemedulian bagi ahli kumpulan yang lain; serta untuk membina keyakinan diri dalam sosial dan rangkaian dalam kalangan delegasi dari negara-negara lain.

SMYSHHB adalah satu-satunya sekolah di Brunei yang dijemput untuk menghadiri forum berkenaan. Perjalanan pelajar ini bersama gurunya ditaja sepenuhnya oleh Wilayah Wakayama, di mana kedua-dua mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Kansai hari ini dan akan berada di Jepun hingga 4 Ogos 2016.

Antara aktiviti yang bakal diikuti oleh pelajar-pelajar berkenaan ialah Program Inap Desa di mana mereka akan tinggal bersama keluarga angkat di sana, Study Tour yang membawa peserta-peserta mengadakan lawatan ke tapak warisan dunia, Koyasan di Wilayah Wakayama diikuti dengan menghadiri Majlis Perasmian Forum.

Selain itu, para peserta juga akan mengikuti perhimpunan-perhimpunan mengikut bahagian dan perhimpunan besar bagi membincangkan dan membentangkan tema penyelidikan mereka bagi forum tersebut dan akhirnya akan dibawa melawat ke sekolah-sekolah tinggi di Wilayah Wakayama.

ARTIKEL YANG SAMA