Pelajar SPM dibekal komputer riba

Pelajar SPM dibekal komputer riba

SIMUNJAN, Sarawak, 17 April (Bernama) – Kerajaan akan melaksanakan Program Pembekalan Komputer Riba, program perintis kepada para pelajar di Sarawak yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata program itu bermatlamat bagi merapatkan jurang digital di samping memberi kemudahan serta pendedahan berkaitan teknologi maklumat dengan lebih efisien.

Beliau berkata projek perintis itu akan memanfaatkan kira-kira 33,000 pelajar tingkatan lima di 188 sekolah menengah kebangsaan sekitar Sarawak yang mana komputer riba itu akan diberikan dalam bentuk sewaan atau pinjaman.

“Selepas tamat SPM, pelajar berkenaan akan menyerahkan komputer riba itu kepada pelajar tingkatan lima seterusnya (tahun berikut). Mudah-mudahan, projek ini akan dapat menyaksikan pencapaian yang lebih cemerlang,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika melakukan tinjauan mesra ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong di Sebuyau, kira-kira tiga jam perjalanan dari Kuching yang turut disertai Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan murid-murid ketika melawat bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Ladong. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan murid-murid ketika melawat bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Ladong. – Bernama

Dalam tinjauan tersebut, Najib turut menyentuh mengenai projek menaik taraf sekolah yang pernah dikunjunginya pada awal tahun ini, yang memerlukan peruntukan segera bagi menaik taraf kemudahan dan bangunan sekolah yang usang.

“Sekolah ini memerlukan penambahbaikan segera kerana keadaan bangunannya berbahaya untuk meneruskan pengajian.

Kerajaan baru-baru ini memutuskan untuk memberikan peruntukan segera kepada lapan sekolah di Sarawak yang daif bagi tujuan membaik pulih, menyediakan bangunan baru dan tambahan.

“Alhamdulillah, bagi SK Sungai Ladong ini telah disiapkan segera dalam masa tujuh minggu sahaja. Sekolah ini dengan bangunan baru dan makmal sains telah boleh digunakan,” katanya.