Pelajar S’pura melawat Tutong

Pelajar S’pura melawat Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Sept – Seramai 12 orang pelajar bersama lima orang tenaga pengajar dari Sekolah Kejuruteraan, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College West, Singapura, hari ini mengadakan lawatan ke Daerah Tutong.

Lawatan berkenaan telah diketuai oleh Ketua Perhubungan Industri IBTE Kampus Jefri Bolkiah, Kuala Belait, Hajah Salenawati binti Haji Mohd Saji.

Objektif lawatan adalah untuk mendedahkan pelajar ITE College West, Singapura mengenai penghasilan produk industri di Negara Brunei Darussalam khususnya di Daerah Tutong dan mendedahkan keunikan, keindahan serta memperkenalkan budaya dan adat resam masyarakat di daerah ini.

Ketibaan rombongan di perkarangan rumah warisan etnik di Taman Rekreasi Sungai Basong telah dialu-alukan oleh pegawai dan kakitangan Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong dan Ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong (BPPPDT).

Rombongan pelajar Singapura berkesempatan untuk mengenali budaya masyarakat Iban.
Rombongan pelajar Singapura berkesempatan untuk mengenali budaya masyarakat Iban.
Mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan di hadapan perkarangan rumah warisan etnik di Taman Rekreasi Sungai Basong.
Mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan di hadapan perkarangan rumah warisan etnik di Taman Rekreasi Sungai Basong.

Rombongan telah diberi penerangan dan berkesempatan menyaksikan pameran rumah-rumah tradisi lima etnik iaitu Puak Tutong, Puak Kedayan, Puak Dusun, Masyarakat Iban dan Masyarakat Tiong Hua dengan menyaksikan serta mempelajari cara hidup puak-puak dan masyarakat yang tinggal di daerah ini. Mereka juga berpeluang melihat pelbagai jenis tanaman herba dan mengenali manfaat herba tersebut.

Rombongan seterusnya berkesempatan melawat Galeri 1K1P di Pejabat Daerah Tutong dan mendengarkan penerangan ringkas mengenai sejarah penubuhan, fungsi dan peranan Galeri 1K1P Daerah Tutong. Mereka juga berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi penulisan tulisan jawi oleh BASKIM.

Lawatan turut berkesempatan meninjau ke tempat pemprosesan minyak kelapa dara oleh Ahli Majlis Perundingan Mukim Tanjong Maya, Awang Sha’ari bin Haji Junaidi, dan seterusnya melawat kilang pemprosesan sagu ambulong oleh penduduk Kampung Ukong, Awang Yong Meng Leong.

ARTIKEL YANG SAMA