Pelajar S’pura tinjau pembelajaran teknikal

Pelajar S’pura tinjau pembelajaran teknikal

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 27 Sept – Bagi mendedahkan pelajar kepada pembelajaran yang berbeza dan pengetahuan lebih lanjut dalam pendidikan teknikal, ITE College Central Singapura telah menghantar 10 orang pelajar bagi menyertai Program Pertukaran Pelajar ke negara ini.

Rombongan itu hari ini berpeluang mengadakan lawatan sambil belajar ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SB), di sini. Kedatangan mereka dialu-alukan oleh Pengetua IBTE Satelit, Awang Norjemee bin Jenek, yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum aktiviti lainnya dimulakan.

Sepanjang lawatan di IBTE Kampus SB, para menjalani aktiviti suai kenal dan tinjauan ke sekitar kampus termasuk bahagian Industri Penyelenggaraan Peralatan (IEM), bengkel pengimpal dan RAC.

Selama berlangsungnya program pertukaran pelajar itu, para pelajar juga turut diberikan peluang untuk melawat tapak-tapak industri minyak dan gas seperti Pusat Latihan Brunei Asia Pacific Shell (BAPSLH) dan SMES, selain akan dibawa melawat ke tempat bersejarah iaitu Tugu Million Barrel di Seria.

Dalam temu bual wartawan Media Permata dengan ketua rombongan pelajar, Awang Roslan mengatakan program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir secara global, mendedahkan mereka dengan ciri-ciri pembelajaran di luar negara dan menyemai sifat jati diri serta mencari peluang di peringkat global.

Gambar ramai rombongan pelajar ITE College Central Singapura dengan pegawai IBTE Kampus Sultan Bolkiah Seria.
Gambar ramai rombongan pelajar ITE College Central Singapura dengan pegawai IBTE Kampus Sultan Bolkiah Seria.
Aktiviti suai kenal antara pelajar-pelajar Program Pertukaran Pelajar ITE College Central Singapura dan pelajar IBTE Kampus Sultan Bolkiah semasa lawatan itu.
Aktiviti suai kenal antara pelajar-pelajar Program Pertukaran Pelajar ITE College Central Singapura dan pelajar IBTE Kampus Sultan Bolkiah semasa lawatan itu.

Menurutnya, melalui Program Global, ITE College Central menyediakan empat jenis program antaranya Program Pertukaran Luar Negara untuk membukakan peluang kepada para pelajar untuk berkongsi pembelajaran yang sama atau sebagai kelebihan tambahan, seperti yang dapat mereka pelajari semasa lawatan ke IBTE di negara ini iaitu bidang kursus pengimpalan yang tidak terdapat di kolej mereka.

Manakala program lainnya ialah Penempatan Industri yang memerlukan pelajar bekerja di sesebuah syarikat selama tiga ke empat minggu dan Program Khidmat Kemasyarakatan seperti di Kemboja, Vietnam dan Thailand untuk menjalankan khidmat berkebajikan di sana.

Beliau juga menjelaskan perbezaan dengan keperluan IBTE di negara ini yang lebih fokus kepada kursus bagi bidang industri minyak dan gas, tetapi di Singapura lebih kepada kursus IT dan perkhidmatan yang lebih kepada keperluan di negara itu. Sementara penempatan pembelajaran mekanikal di sana, lebih fokus kepada penyelenggaraan bagi keperluan kerja-kerja dalam industri perkapalan dan sebagainya.

“Singapura banyak memerlukan bidang teknikal penyelenggaraan, dan untuk memenuhi keperluan itu mereka masih juga memerlukan pekerja-pekerja asing, oleh itu, ITE College menumpukan lebih dalam industri berkenaan bagi mengatasi kebergantungan negara kepada pekerja asing,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA