Pelajar SR Kiudang pelajari permainan tradisi Brunei

Pelajar SR Kiudang pelajari permainan tradisi Brunei

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 14 April – Dalam usaha memperkenalkan muzium-muzium dan galeri di bawah pentadbiran Jabatan Muzium-muzium, program “Muziumku, Warisanku” telah diteruskan lagi ke Sekolah Rendah Kiudang, Tutong, kelmarin.

Sejak mula dilaksanakan pada Mac 2016 hingga 12 April, program khusus bagi murid-murid Tahun 4 dari sekolah-sekolah rendah seluruh negara ini telah mengunjungi 11 buah sekolah rendah dan melibatkan seramai 694 orang murid dan guru-guru.

Program ini merupakan langkah positif yang diambil Jabatan Muzium-muzium dalam menyebarkan dan menyampaikan maklumat mengenai kepentingan menjaga khazanah warisan negara dalam kalangan murid-murid.

Murid-murid Sekolah Rendah Kiudang diberi tunjuk ajar tentang permainan tradisi Brunei, ‘Pasang’.
Murid-murid Sekolah Rendah Kiudang diberi tunjuk ajar tentang permainan tradisi Brunei, ‘Pasang’.

Menerusi program ini, para murid dan guru-guru diberikan ilmu melalui taklimat mengenai program yang disampaikan oleh Pegawai Perkhidmatan Pelajaran di Jabatan Muzium-muzium, Haji Mahrin bin Haji Abas.

Selain taklimat tersebut, program berkenaan juga menerangkan beberapa jenis permainan tradisi Brunei seperti permainan Pasang, Congkak, Simban, Salok-Salokan, Buah Lapas, Bilun, Kuit, dan Kaki Tiga.

ARTIKEL YANG SAMA