Pelajar SR Sg Tali lawat OGDC

Pelajar SR Sg Tali lawat OGDC

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 26 Okt – Sebagai usaha menanamkan minat terhadap ilmu sains, rombongan seramai 70 orang murid Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut II telah dibawa membuat lawatan sambil belajar ke Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), di Seria, hari ini.

Lawatan berkenaan, yang turut disertai seramai 25 orang daripada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan empat orang guru, merupakan lawatan tahunan sambil belajar ke tempat-tempat menarik yang dapat memberi ilmu pengetahuan berguna serta mendidik mereka untuk bertanyakan soalan mengenai sebarang topik di tempat yang dilawati itu.

Memberitahu Media Permata ketika ditemui pagi tadi, salah seorang guru, Dayang Aniza binti Haji Taib berkata, lawatan ini memberi peluang kepada murid-murid Pra 1 hingga 3 berkenaan untuk menerokai tema permainan Karnival Sains yang sedang dipamerkan di galeri OGDC ini.

“Ramai di antara mereka belum pernah ke sini, dan melawat pameran ini buat pertama kali membuatkan mereka gembira dan ini akan dapat mengaktifkan minat mereka untuk mencuba pelbagai permainan sains yang mencabar di sini,” ujar beliau.

pg10_151027_c

Pertunjukan silap mata.
Pertunjukan silap mata.
Atas/bawah: Murid-murid mencuba sendiri permainan interaktif di OGDC.
Atas/bawah: Murid-murid mencuba sendiri permainan interaktif di OGDC.

pg10_151027_e

Pameran Karnival Sains ini merangkumi 28 pondok permainan interaktif dan mempamerkan pelbagai permainan kegiatan kecil dan cabaran yang mendedahkan fizik, psikologi dan matematik dalam dunia yang pelik dan aneh untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran yang riang dan menyeronokkan untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

Selain daripada pameran permainan sains, murid-murid turut dihiburkan dengan pertunjukan ahli silap mata sains menggunakan kaedah dan barangan sedia ada yang dikendalikan oleh kakitangan OGDC sendiri.

“Acara ini tidak terhad kepada lawatan, malah ia akan berlanjutan merangkumi aktiviti berfaedah lain yang akan menguji kepintaran murid-murid, di mana mereka akan membuat sebuah cerita pendek hasil daripada pengalaman mereka melawat pameran karnival sains tersebut,” kata Dayang Aniza lagi. Apa yang menarik, kesemua aktiviti tahunan murid-murid Pra ini nanti akan dipamerkan pada Hari Tamat Pengajian Darjah Pra di hadapan guru-guru dan ibu bapa mereka.

ARTIKEL YANG SAMA