Pelajar SR YSHHB sertai program

Pelajar SR YSHHB sertai program

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Bagi menggalakkan pendidikan dan pembangunan menyeluruh para pelajar, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) telah menganjurkan Program Bulan Bahasa Inggeris dan Kajian Sosial, pagi tadi.

Program bertema ‘Hari Keusahawanan’ itu dihadiri lebih 900 orang pelajar sekolah berkenaan dan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Noorhaizamdin bin Haji Mosbi.

Berangkat sama ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez bin Pengiran Anak Khairul Khalil dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah binti Pengiran Anak Khairul Khalil; cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah iaitu Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah dan Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah serta kerabat diraja yang lain.

Pemangku Pengetua SR YSHHB, Awang Alimas bin Haji Mohd Ali dalam ucapannya pada majlis itu berkata, pelancaran program tersebut adalah menjurus kepada pendedahan nilai-nilai dan kemahiran keusahawanan yang merangkumi aspek kepimpinan, inovasi, kreativiti, berdaya tahan, berdikari dan banyak lagi.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez berangkat sama ke program itu.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez berangkat sama ke program itu.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah berangkat ke program itu.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah berangkat ke program itu.
Kiri dan kanan: Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah dan Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah turut menyertai program tersebut.
Kiri dan kanan: Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah dan Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah turut menyertai program tersebut.
Atas dan bawah: Ahli kerabat diraja lain yang turut menyertai Program Bulan Bahasa Inggeris dan Kajian Sosial.
Atas dan bawah: Ahli kerabat diraja lain yang turut menyertai Program Bulan Bahasa Inggeris dan Kajian Sosial.

pg08_160505_d

Antara ahli kerabat diraja lain yang menyertai program SR YSHHB.
Antara ahli kerabat diraja lain yang menyertai program SR YSHHB.

“Bagi memantapkan program ini, pihak Yayasan menggalakkan pendidikan dan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang dan menyeluruh untuk melahirkan pelajar yang mempunyai nilai pemikiran dan atribut keusahawanan,” kata Awang Alimas.

Menurut beliau lagi, pendedahan mengenai keusahawanan bermula dari kecil ini amat penting dan merupakan komponen penting dalam menjana masyarakat Brunei yang kreatif dan berinovasi seperti yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

“Dengan mencipta latihan keusahawanan kepada setiap pelajar yang menyertai program hari ini, mereka akan berpeluang mempelajari kemahiran perniagaan dan secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kemahiran komunikasi mereka,” tambah beliau.

Awang Alimas juga berkata, belajar seharusnya menyeronokkan, dan pembelajaran yang seronok selalunya di luar kelas. Dan aktiviti hari ini diharap akan dapat membantu mereka mengeratkan hubungan antara rakan dan juga dengan guru-guru di sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA