Pelajar St John’s menang Anugerah BICTA

Pelajar St John’s menang Anugerah BICTA

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Dengan hasrat untuk membantu para pelajar di Brunei untuk memperbaiki lagi keputusan peperiksaan mereka, kumpulan pelajar dari Sekolah St John’s telah menghasilkan projek Secondary Studies Redspot yang dinobatkan sebagai juara Kategori Projek Sekolah dalam Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2015 yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan, hari ini.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Anugerah BICTA merupakan pertandingan tahunan yang diterajui oleh Kementerian Perhubungan dan dianjurkan bersama dengan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB) dengan matlamat untuk merangsang kreativiti dan inovasi ICT dalam kalangan individu, organisasi dan perusahaan kecil dan sederhana.

BICTA 2015 yang membawa tema ‘Inovasi bagi Melahirkan Sebuah Negara Pintar’ (Innovation to Generate a Smart Nation), mempertandingkan sebanyak tiga kategori iaitu Projek Sekolah, Pengajian Tinggi dan Industri ICT.

Ketua Pasukan Sekolah St John’s, Awang Muhammad Rizwan bin Amjad dalam temu bual ringkas bersama Media Permata berkata ilham bagi projek mereka itu lahir daripada keinginan untuk membantu para pelajar meningkatkan kebolehan untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan.

Para pemenang Anugerah BICTA 2015 bergambar ramai bersama Menteri Perhubungan pada majlis penganugerahan kelmarin.
Para pemenang Anugerah BICTA 2015 bergambar ramai bersama Menteri Perhubungan pada majlis penganugerahan kelmarin.

Beliau dan ahli pasukannya percaya bahawa projek itu mampu diperkembangkan dan diperkemas lagi supaya dapat digunakan bukan sahaja bagi membantu pelajar di Brunei tetapi juga untuk pelajar di luar negara.

Pada masa yang sama, beliau bagi mewakili ahli-ahli pasukannya menyatakan perasaan gembira dengan kemenangan yang diraih kerana ia merupakan satu kemenangan yang amat bermakna bagi mereka.

Mereka juga menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan berterusan kepada mereka terutama para ibu bapa dan keluarga, guru-guru, rakan serta pihak penganjur.

Sementara itu, bagi kategori projek sekolah, Sekolah St John’s dengan projek Secondary Studies Redspot muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai, $3,000 manakala Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan dengan projek bertajuk C-Attendance mendapat tempat kedua dan membawa pulang wang tunai $2,000 serta tempat ketiga disandang oleh Sekolah Menengah Chung Ching dengan projek bertajuk E-Pension dan membawa pulang wang tunai $1,000.

Sekolah Menengah Chung Ching dengan Projek bertajuk HomeClass dan Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan dengan projek bertajuk Domotics, turut diberikan anugerah pujian.

Bagi kategori pengajian tinggi pula, pasukan dari Institut Teknologi Brunei (ITB) dengan projek bertajuk ITB Virtual Campus using OpenSim, muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai $7,000 manakala pasukan Kolej IGS dengan projek bertajuk Nasi Katok Kitani di tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai $3,500 dan tempat ketiga jatuh kepada pasukan dari Kolej IGS dengan projek bertajuk School Goes Mobile dengan membawa pulang wang tunai $1,750.

Sementara itu, pasukan dari Kolej IGS dengan projek bertajuk KIGS Result System dan pasukan dari ITB dengan projek bertajuk DuDu Apps-Education Mobile Apps menerima anugerah pujian.

Bagi kategori industri ICT pula, juara disandang oleh D5 Innovation dengan projek bertajuk VirtualKiub dengan membawa pulang hadiah wang tunai $10,000, tempat kedua ialah SnapFeed Sdn Bhd dengan Projek SnapFeed yang membawa pulang wang tunai $5,000 serta tempat ketiga ialah DotRoot Technologies dengan projek EventLoop yang membawa pulang wang tunai $2,500.

Sementara itu, Awang Mohd Yazid dan Awang Abdul Rahman dengan projek mereka bertajuk RingPing pula menerima anugerah pujian.

Di samping hadiah bagi tiga kategori utama itu, anugerah istimewa juga diberikan iaitu Anugerah ICT Hijau kepada Universiti Brunei Darussalam bagi projek Intelligent Energy Monitoring & Management System, Anugerah Teknologi Baru kepada HalBase Company bagi projek MyHaemoGlobin dan Anugerah Usahawan Harapan kepada Joel Canoza Espiritu bagi projek Pi-Board (Portable Interactive Board).

Manakala itu, tiada sebarang penerima diumumkan bagi Anugerah Pemaju Muda yang dibukakan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah yang menghasilkan projek ICT paling inovatif. Di samping membawa pulang hadiah wang tunai dan piala, para pemenang dalam setiap kategori yang dipertandingkan juga dicalonkan untuk mewakili Negara Brunei Darussalam ke Anugerah APICTA 2015 yang akan berlangsung di Sri Lanka pada 18 hingga 22 November nanti.

ARTIKEL YANG SAMA