Pelajar STPRI juara pertunjukan sains OGDC

Pelajar STPRI juara pertunjukan sains OGDC

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Kumpulan dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai $600 berserta pingat, dalam pertandingan Pertunjukan Sains Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), hari ini.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Kuliah, Institut Teknologi Brunei (ITB) itu, tempat kedua disandang oleh pasukan dari Sekolah Seri Mulia Sarjana dan menerima wang tunai $300, diikuti oleh pasukan Sekolah Menengah Sayyidina Hassan, Kilanas di tempat ketiga yang menerima $200.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah Persembahan Skrip Terbaik kepada pasukan dari Sekolah Menengah Berakas yang berjaya membuat pertunjukan sains yang menarik perhatian.

Pertandingan yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh OGDC ini telah disertai oleh 42 pasukan daripada 16 buah sekolah menengah, dan hanya lima kumpulan bertanding bagi merebut tempat teratas, termasuk Sekolah Menengah Chung Ching Seria dan Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong.

Dua pelajar mewakili STPRI menjuarai pertandingan Pertunjukan Sains OGDC.
Dua pelajar mewakili STPRI menjuarai pertandingan Pertunjukan Sains OGDC.

pg09_150609_e

Antara objektif utama pertandingan ini adalah bagi merangsang kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar menerusi komunikasi aktiviti-aktiviti yang bersangkut-paut dengan sains, serta untuk membangunkan potensi para belia secara holistik dengan menanamkan budaya sains.

Pertandingan itu dibukakan kepada semua sekolah dan pelajar Tahun 7 hingga 9, yang mana setiap kumpulan terdiri daripada dua pelajar dan seorang guru pengawas.

Setiap kumpulan diminta untuk menghasilkan video pertunjukan sains mengikut skrip selama 10 minit, dan lima video terbaik dinilai oleh hakim undangan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Institut Teknologi Brunei (ITB).

Hakim-hakim terdiri daripada Dekan Fakulti Kejuruteraan, ITB, Dr Faqir Gul; Pensyarah Kanan dan Guru Pendidikan di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Dr Masitah Shahrill; Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Pengajian dan Penyelidikan Siswazah di Fakulti Sastera dan Sosial Sains (FASS), UBD, Dr Sharifah Nurul Huda Alkaff, Pensyarah Kanan UBD, Malai Haniti Sheikh Abdul Hamid.

Apa yang membezakan pertunjukan sains ini daripada pembentangan PowerPoint biasa adalah demonstrasi termasuk elemen persembahan yang mudah difahami dan menyeronokkan.

Kumpulan yang menjuarai pertandingan akan diberikan keistimewaan menyertai OGDC Science Outreach, perkhemahan sains dan aktiviti cuti sekolah serta mengadakan pertunjukan mereka sendiri.

OGDC percaya melibatkan dan menggalakkan pelajar dengan cara ini akan memberi inspirasi kepada mereka untuk meminati bidang sains.