Pelajar SVNR bentang idea penjenamaan semula Pusat Belia

Pelajar SVNR bentang idea penjenamaan semula Pusat Belia

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Sebanyak lapan kumpulan pelajar Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam (SVNR), hari ini, membuat pembentangan mengenai idea ‘Penjenamaan Semula Pusat Belia’ sebagai sebahagian daripada tugasan bersepadu (IA) mereka.

Pembentangan yang berlangsung di SVNR itu juga merupakan projek tahunan bagi semua pelajar yang mengikuti BDTVEC Diploma Tahun 1 dalam program Perancangan dan Pembangunan, Geomatik, Pembinaan dan Reka Bentuk Dalaman.

Ketua Bahagian Built & Environment, SVNR, Awang Aminurrashid bin Haji Ibrahim semasa menyampaikan ucapan di majlis itu berkata, IA tahun ini adalah projek kelima berturut-turut yang telah dijalankan sejak memasuki SVNR.

Bagaimanapun, tambahnya, tahun ini merupakan titik peralihan bagi mereka terutamanya para pelajar kerana mereka perlu berurusan dengan pelanggan sebenar di luar sekolah.

Menurut beliau, peluang ini muncul apabila SVNR menganjurkan bazar BizExpo2014 di Pusat Belia, dan pihak pusat berkenaan meluahkan minat untuk bekerjasama apabila mendapat tahu apa yang pelajar mereka pelajari di SVNR dan mencadangkan untuk menghidupkan semula pusat berkenaan.

Awang Aminurrashid semasa menyampaikan ucapan di majlis itu.
Awang Aminurrashid semasa menyampaikan ucapan di majlis itu.
Salah seorang pelajar membentangkan idea kumpulannya.
Salah seorang pelajar membentangkan idea kumpulannya.
Antara idea-idea yang dicadangkan oleh para pelajar SVNR.
Antara idea-idea yang dicadangkan oleh para pelajar SVNR.

“Jadi kami terima cabaran itu dan hari ini adalah hasilnya,” ujarnya.

Beliau seterusnya menjelaskan, tugas pelajar-pelajar berkenaan adalah untuk menjenamakan semula Pusat Belia, yang mana empat tapak telah dikenal pasti dan mereka menghasilkan lapan cadangan, dua bagi setiap tapak.

“Kami berharap cadangan-cadangan itu akan menarik lebih ramai belia untuk bersukan, beriadah, berniaga dan menjalani latihan di Pusat Belia,” tambah beliau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Institut Pendidikan Teknikal Brunei, pembentang terbaik akan diumumkan pada 1 Jun depan di majlis yang berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.

Antara yang hadir pada sesi pembentangan itu ialah Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim dan Dato Paduka Haji Mohd Yunos bin Mohd Noh dari DHY Juruukur dan wakil-wakil dari Jabatan Kerja Raya, Eko Bumi Arkitek, Seri Bumi Konsultan, dan Pusat Belia, serta para pegawai Jabatan Belia dan Sukan dan SVNR.

ARTIKEL YANG SAMA