Pelajar SVW tamat penempatan kerja

Pelajar SVW tamat penempatan kerja

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Tujuh orang pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Agro Teknologi, Sekolah Vokasional Wasan (SVW), telah berjaya menamatkan penempatan kerja selama 14 minggu di Golden Corporation Sdn Bhd.

Pada akhir kursus latihan itu, para pelajar berkenaan menerima sijil-sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Golden Corporation Sdn Bhd, Richard Chuang Hsi Shan.

Turut hadir pada majlis penyampaian sijil berkenaan ialah guru-guru dari SVW iaitu Awangku Zulfikar Akram bin Pengiran Haji Hamdan, Awangku Khairezza Nurul Azim bin Pengiran Aliahman dan Pegawai Pelesenan Industri (ILO), Haji Zulhafiz Aslam bin Haji Omar Ali.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pelajar-pelajar berkenaan mempunyai NTec dalam bidang akuakultur dan dipilih menjadi sebahagian daripada program penempatan yang berterusan di Golden Corporation Sdn Bhd untuk mendapatkan pengetahuan praktikal dalam perniagaan berkenaan.

Golden Corporation Sdn Bhd telah menghoskan program-program penempatan ini bersama IBTE Kampus Agro Teknologi SVW untuk membantu para pelajar mendapatkan pembelajaran holistik mengenai industri akuakultur.

Para pelajar SVW bergambar ramai bersama warga Golden Corporation Sdn Bhd.
Para pelajar SVW bergambar ramai bersama warga Golden Corporation Sdn Bhd.

Program berkenaan memerlukan pelajar berlatih dalam bahagian-bahagian berlainan di Golden Corporation Sdn Bhd untuk mendapatkan pengalaman langsung mengenai tugas. Mereka dilatih mengenai teknik-teknik pengusahaan dan pembiakan udang galah di tempat penetasan hingga pematangan udang di kolam udang.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka berpeluang untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti penternakan seperti memberi makan, penuaian, pemeriksaan kualiti dan pengangkutan. Mereka juga belajar mengenai pemprosesan udang dan surimi di kilang pemprosesan Golden Corporations Sdn Bhd di Daerah Tutong.

Para pelajar berkenaan dilatih tentang kepentingan keperluan keselamatan makanan di kilang pemprosesan makanan laut, sementara mereka berlatih di jabatan kualiti dan makmal di Golden Corporation.

Di samping itu, mereka juga diberi pengetahuan mengenai kemapanan dan pengurangan pembaziran semasa berlatih di jabatan makanan ikan dan pemberian makanan.

ARTIKEL YANG SAMA