Pelajar Tahun...

Pelajar Tahun 7 Maktab Sains mulakan pembelajaran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Seramai 315 orang pelajar Tahun 7 akan memulakan pembelajaran sesi akademik tahun 2017 di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) bagi tahun ini.

Para pelajar ini nanti akan dibahagikan kepada 13 buah kelas dan ditempatkan di Blok A dan Blok D yang mana penempatan ke dalam kelas-kelas ini adalah berdasarkan pilihan mata pelajaran bagi mata pelajaran pilihan dan mengikut kekosongan.

Ini dijelaskan oleh Pemangku Pengetua MSPSBS, Haji Ismail bin Haji Zainal pada Majlis Kemasukan Pelajar Tahun 7, 2017 yang berlangsung di Dewan Auditorium MSPSBS, Berakas, petang tadi.

Antara pelajar yang memulakan pembelajaran sesi akademik tahun 2017 MSPSBS bagi tahun ini ialah cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah bin Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin.

Juga berangkat ke majlis itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolkiah.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolkiah dan Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah semasa hadir di majlis itu.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolkiah dan Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah semasa hadir di majlis itu.
Haji Ismail semasa menyampaikan ucapan.
Haji Ismail semasa menyampaikan ucapan.

Menyentuh mengenai dengan program pendidikan di MSPSBS, Haji Ismail menjelaskan bahawa pihak maktab cuma menawarkan program pendidikan menengah ‘General’ iaitu program ekspres selama empat tahun sahaja sebelum mereka menduduki Peperiksaan ‘O’ Level.

Para pelajar juga akan mengikuti program pendidikan umum, kurikulum biasa selama dua tahun dalam Tahun 7 dan 8 sebelum menduduki Peperiksaan SPE pada penghujung tahun 2018.

Seterusnya mereka akan mengikuti pembelajaran di menengah atas yang menjurus kepada ‘O’ Level dalam masa dua tahun iaitu Tahun 9 dan 10.

Beliau turut menyentuh mengenai dengan perkembangan sahsiah pelajar yang mana mereka merupakan pelajar yang bakal memimpin dan menerajui negara di masa akan datang.

Di samping itu, katanya, disiplin pelajar memang ditekankan dan pihak maktab juga menekankan dalam bidang kerohanian dan penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti seperti sukan, rentas desa, kerja-kerja amal dan mengikuti salah satu kelab di maktab tersebut.

Dayang Zabaidah semasa menyampaikan taklimat.
Dayang Zabaidah semasa menyampaikan taklimat.
Sebahagian daripada pelajar Tahun 7 yang memulakan pembelajaran mereka di MSPSBS.
Sebahagian daripada pelajar Tahun 7 yang memulakan pembelajaran mereka di MSPSBS.

Selain itu juga, MSPSBS telah menubuhkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang aktif dalam mengungkayahkan beberapa aktiviti untuk warga maktab.

Dengan persatuan ini, para ibu bapa dan guru akan dapat bekerjasama dan memberikan sokongan padu demi kejayaan dan kecemerlangan para pelajar.

Majlis hari ini diteruskan lagi dengan Taklimat Pengenalan SPE Tahun 7 yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran dan Sesi Petang, Dayang Zabaidah binti Tuah dan taklimat PIBG yang telah disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi PIBG Sesi 2014-2016, Hajah Florinda binti Haji Mejenis sebelum diakhiri dengan Ikrar Penuntut.

Program Minggu Suai Kenal pelajar baru Tahun 7 ini akan berlangsung selama tiga hari iaitu pada 5, 7 dan 9 Januari.

ARTIKEL YANG SAMA